RAKYAT SAHAJA YANG BERSALAH, POLIS PUKUL RAKYAT DILEPASKAN

Setelah berakhirnya perhimpunan Bersih 3.0, maka terdapat desakan dan ugutan yang bertalu-talu dari pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya individu tertentu yang telah dikenalpasti bertindak untuk menyerahkan diri bagi melengkapkan siasatan pihak polis dalam isu perhimpunan Bersih 3.0. Malangnya arahan serah diri ini hanya terarah kepada peserta demonstrasi sahaja, sedangkan tindakan segelintir pihak polis tertentu yang telah bertindak di luar batas undang-undang telah dibiarkan begitu sahaja.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan mangsa yang menerima layanan buruk dan dicederakan dalam perhimpunan Bersih 3.0 telah berhadapan dengan kekasaran pihak polis ini setelah mereka digari, selain dari dipukul dan disepak secara betubi-tubi oleh pihak keselamatan yang telah mengheret mereka yang sedang dalam proses bersurai.  

Kita akur bahawa penahanan seseorang adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, dengan merujuk kepada peruntukan tertentu. Tetapi tindakan memukul mereka yang berhimpun ini, apatah lagi yang sedang bersurai adalah salah dan sangat zalim sifatnya.  Bagaimana mungkin mereka yang dipanggil menyerah diri ini dapat dijamin keselamatan mereka dan tidak berdepan dengan kemungkinan tindakan kekerasan dan dipukul sekali lagi semasa siasatan dijalankan ?. 


Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Comments