Di keheningan petang 28.4.2012 itu, dari jauh aku dapat lihat semburan air dan asap dan orang ramai sedang melarikan diri. Di celah-celah asap itu aku dapat lihat sinar untuk hari esok. Usaha Pak Samad dan yang lainnya tidak sia-sia. Aku bangga menjadi sebahagian dari sejarah, dan aku takkan di jajah lagi. Aku bangga untuk menceritakan kepada anak-anak dan cucu-cucu aku kalau aku masih diizinkan untuk hidup, bahawa aku bukannya sesiapa dan aku tak tahu kalau aku dapat menyumbang apa-apa, tapi aku bangga untuk berada bersama-sama orang-orang yang bebas dan “hidup”.
Aku akan beritahu mereka yang kematian bukan bermula ketika nafas kita terhenti. Bila kita membiarkan diri dan jiwa kita sentiasa dibelengu dan tidak melakukan apa-apa untuk membebaskanya, kita sebenarnya sudah mati.
Kalaulah abah masih hidup, inilah yang menyatukan kita. Tiba-tiba aku seakan terdengar abah membisikkan ketelinga aku, “Man, abah bangga dengan engkau”
Ab Rahman Awang
Anak Pagoh
Terengganukite
Comments