HUTANG MELAKA : RAKYAT MESTI TUKAR KERAJAAN ELAK NEGERI BANGKRAP

Bandaraya Melaka : Setiausaha Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaikh
Abdul Aziz berkata rakyat mesti menukar kerajaan pada Pilihanraya Umum
ke 13 akan datang bagi menyelamatkan negeri Melaka dari bangkrap.

"Rakyat Melaka mesti menukar kerajaan yang ditadbir oleh BN sekarang
kerana terbukti mereka gagal mentadbir negeri sehingga hutang
meningkat kepada RM865.9 juta seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit
Negara"

"Jika kerajaan yang ada pada hari ini tidak ditukar besar kemungkinan
negeri ini akan jatuh bangkrap kerana terpaksa menanggung hutang yang
semakin meningkat, malah tahun ini dianggarkan hutang Melaka meningkat
menjadi RM1bilion" ujar Asri.

Beliau berkata kerajaan negeri Melaka hanya pandai berhutang tetapi
tidak tahu menguruskan kewangan negeri sehingga hutang semakin
meningkat dan tidak mampu dibayar.

"Kerajaan hanya tahu meminjam wang untuk menjalankan projek-projek
pembangunan yang tidak memberikan pulangan malah lebih malang lagi
mereka menyalurkan wang kepada anak syarikat kerajaan negeri untuk
pelaburan yang tidak menguntungkan".

"Banyak projek yang dijalankan di negeri ini menjadi projek gajah
putih yang tidak berdaya maju malah ada yang terus berkubur seperti
Eye On Malaysia, Kincir Air, Monorel, Lapangan Terbang Antarabangsa
Melaka dan lain-lain" tambah Asri yang juga merupakan Penyelia Dun
Lendu.

Menurutnya pendedahan yang dibuat oleh Adun Ayer Keroh, Khoo Poay
Tiong dalam media semalam sepatutnya membuka mata seluruh rakyat
negeri Melaka supaya membuka minda mereka bagi menukar tampuk
pemerintahan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Asri berkata Pakatan Rakyat(PR) telah membuktikan betapa telus,
professional dan bertanggungjawabnya kerajaan negeri-negeri PR apabila
kerajaan Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor berjaya membayar hutang
kepada kerajaan pusat. Malah rezab kewangan negeri Selangor meningkat
menjadi RM1.9 bilion sedangkan rezab negeri Melaka menguncup menjadi
RM8.26 juta sahaja.

"Kedah walaupun tidak banyak hasil seperti Selangor, tetapi Ketua
Audit Negara memuji pengurusan kewangan kerajaan pimpinan Ustaz
Azizan. Kalau hendak banding dengan Selangor dan Pulau Pinang serta
Kelantan lagilah jauh bezanya" tegas Asri.

Semalam ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong mendakwa Melaka akan muflis
jika terus ditadbir BN memandangkan hutang kerajaan negeri itu telah
meningkat sebanyak 80 peratus di bawah pentadbiran ketua menteri Datuk
Seri Mohd Ali Rustam.

Khoo juga berkata hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan
hanyalah RM482,435,200 pada tahun 1999, tahun pertama Mohd Ali
mentadbir negeri itu tetapi meningkat menjadi sekali ganda pada 2011
kepada RM865,937,396

Comments