DEBAT ALI-ADLY : TIADA JAWAPAN DARI KETUA MENTERI

Semabok : Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari sekali lagi menegaskan bahawa beliau sedang menunggu jawapan dari Pengerusi Perhubungan Negeri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam samada beliau setuju atau tidak untuk berdebat dengannya.
"Saya masih menunggu jawapan dari Mohd Ali tetapi sehingga kini masih tiada 'feedback' dari beliau".

"Beliau boleh memilih apa juga tajuk yang beliau suka samada isu Sekolah Harapan, isu ekonomi, isu maksiat, isu hutang negeri Melaka, isu pembaziran dan apa juga isu" ujar Adly.

Beliau berkata jika Ali takut untuk berdebat dengannya, Ketua Menteri boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai untuk berdebat dengannya.

"Mungkin Ali tidak berani untuk berdebat dengan kita, jadi beliau boleh cari siapa sahaja yang beliau rasa boleh dan berupaya dengan berdebat dengan kita" tambah Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bulanan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka di sini malam tadi.

Bulan lalu sekumpulan 'Facebooker' mencadangkan debat antara Adly dan Datuk Ali diadakan pada 15 April 2012 bertempat di MITC. Mereka memuatkan banner program tersebut dalam Facebook masing-masing.

Sementara itu rata-rata anak muda yang ditemui mengharapkan debat tersebut menjadi kenyataan bagi memberikan peluang kepada kedua-dua pemimpin menyampaikan hujah masing-masing di samping menyatakan hala tuju parti masing-masing jika diberi mandat untuk berkuasa di negeri Melaka selepas PRU 13 nanti.

Comments