Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Melaka kesal dengan perbuatan vandalisme yang mencemarkan dinding Pusat Khidmat DAP Dun Ayer Keroh di sini yang disedari semalam.
Semalam, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan petugas-petugas Pusat Khidmat tersebut terkejut apabila mendapati dinding di tingkat bawah Pusat Khidmat tersebut disembur dengan cat merah dan hitam dengan perkataan 'ABAI' asal bukan Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab berkata perbuatan tersebut amat tidak bertanggungjawab malah ia bukanlah suatu tindakan yang bijak dan professional.
"Ia merupakan budaya yang tidak baik dan pengecut kerana merosakkan harta orang lain dengan perkataan-perkataan berunsur politik murahan, tindakan ini juga sebenarnya adalah tindakan pengecut dan khianat, mereka cuba mengulangi era 60-an di zaman pemuda tahan lasak dahulu"
"Tindakan menyembur cat dengan perkataan seperti ini dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan mungkin ada kaitan dengan pihak-pihak yang takut dengan pengaruh Pakatan Rakyat yang semakin hebat di Melaka".
Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San berkata perbuatan vandalisme seperti ini sebenarnya mencabar rakyat Melaka dan Pakatan Rakyat.
"Mereka cuba mengelirukan rakyat dan cuba memberi gambaran tidak baik kepada pemimpin Pakatan Rakyat, perbuatan ini bukan suatu perbuatan yang sihat dan ia hanya untuk membuat kacau"
"Pihak terbabit sebenarnya takut untuk berjumpa dan berdebat di kaca TV, mereka hanya berani melakukan perbuatan sorok-sorok macam ini" ujar Goh yang juga Adun Kesidang.
Difahamkan tindakan menyembur dinding dengan perkataan 'ABAI' ini dilakukan di banyak tempat di sekitar Bandaraya Melaka terutama berdekatan pejabat dan Pusat Khidmat DAP.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Melaka, Abdul Rahim Ahmad juga turut hadir meninjau perbuatan khianat bersama-sama dengan beberapa penyokong Pakatan Rakyat di Pusat Khidmat DAP semalam.
Comments