Presiden PAS BERUNDUR? Perjuangan Islam HINGGA AKHIR HAYAT

PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihanraya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2hb Februari di Pejabat Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke 13. 

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat. Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agong abad ini.

Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah. Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bilamana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Comments