KENYATAAN DZAIDDIN SAHKAN BADAN KEHAKIMAN DIPENGARUHI KUASA POLITIK

PAS sudah lama berpendapat bahawa badan kehakiman Malaysia tidak bebas. Lebih-lebih selepas pemecatan Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dahulu. Selepas itu banyak lagi kes yang membuktikan bahawa badan kehakiman kita tidak bebas dan dikuasai oleh kuasa politik pemerintah.


Kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah berhubung tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, didakwa mencampuri badan kehakiman sewaktu pentadbiran beliau, satu pandangan "berat" dan mengesahkan berlakunya campur tangan politik. 

Pandangan memang tidak dapat disangkal lagi kerana Tun Dzaiddin sendiri merupakan orang yang terlibat dengan sistem kehakiman Malaysia samada sebagai majistret, hakim dan Ketua Hakim Negara. Mana mungkin seorang bekas Ketua Hakim Negara boleh mengeluarkan kenyataan yangt seberat itu jika beliau tidak benar-benar pasti akan faktanya.

PAS memang konsisten dengan pendapatnya bahawa sistem kehakiman negara sebenarnya diambang kehancuran kerana campurtangan politik ini. Isu 'correct', 'correct', 'correct', percutian hakim dan sebagainya memang sudah diketahui umum seluruh dunia.

Dr Mahathir tidak perlu pura-pura tidak tahu dan menyalahkan orang lain dalam hal ini kerana umum semua tahu bahawa Perdana Menteri amat berkuasa untuk menasihat Yang Dipertuan Agong dalam apa juga perkara yang melibatkan pentadbiran negara lebih-lebih selepas beliau meminda perlembagaan negara mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu pada era 90-an dahulu.


Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan itu turut mengesahkan bahawa setiap keputusan perundangan dipengaruhi unsur politik.
“Kenyataannya itu sangat berat memandangkan ia mengesahkan bahawa rombakan tersebut memberikan implikasi kepada keputusan awal penghakiman berkaitan politik.



“Sebagai contoh kes yang berlaku seperti krisis di Perak dan penghakiman terhadap diri saya sendiri,” katanya pada sidang media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, semalam yang dipetik dari akhbar Sinar Harian hari ini.



Sehubungan itu, Anwar berkata, PR mahukan sebuah badan kehakiman yang bebas, dan sekiranya berjaya memerintah, pihaknya akan memperbetulkan kesilapan-kesilapan era Dr Mahathir.
Jumaat lalu, Mohd Dzaiddin dalam ucapan dasarnya di Memorial Tunku Abdul Rahman mengaitkan pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1980-an sebagai langkah yang telah melemahkan sayap badan kehakiman.
Beliau yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara dari 2000 hingga 2003 mendakwa Dr Mahathir merupakan pihak yang bertanggungjawab merombak undang-undang berkenaan dan melemahkan sistem kehakiman dengan meletakkan kuasa Parlimen sebagai penentu kehakiman negara.
Bagaimanapun, Dr Mahathir telah membidas kenyataan Dzaiddin sambil menegaskan, dakwaan itu merupakan satu fitnah terhadapnya.

Comments