12 % Rakyat Malaysia 'GILA'?

12 % dari 28 juta orang rakyat Malaysia mengalami sakit mental yang boleh dikatakan 'gila', hampir gila atau gila-gila. Gila babi, gila ising, gila talak, gila kuasa, gila betina, gila harta, gila pangkat atau apa juga jenis gila tidaklah pula blog ini ketahui. 

Angka 12 % ini amat membimbangkan kerana sakit mental ini boleh menyebabkan bahaya dan ketidak tenteraman berlaku dalam negara, negeri, daerah, kampung dan keluarga. Sekarang sering benar kita mendengar orang mengamuk tak tentu pasal. Sedar-sedar orang awam yang tidak bersalah ditikam hingga mati seperti kes 2 hari lepas seorang anak dara di Kuala Terengganu mati ditikam seorang yang dikatakan gila.

Tidak lama dahulu kita juga mendengar seorang lelaki membunuh datuk, adik dan keluarganya di Gemencheh, bukan itu sahaja dia sanggup membawa kepala arwah datuknya hingga ke Shah Alam. Tidakkah gila namanya.

Apa penyebabnya penyakit gila ini berlaku. Sebagai orang awam yang tidak mengaji perubatan kita mengagak mereka yang gila ini ada masalah kronik, mungkin belajar ilmu salah, belajar ilmu yang tidak tahu hujung pangkalnya, putus cinta, bercerai, kalah judi, rugi berniaga, putus tunang, gagal peperiksaan, terkena sihir dan sebagainya. 

Apa yang boleh kita katakan ialah semua orang mesti mendekatkan diri kepada Allah bila apa juga masalah datang. Jangan mencari jalan penyelesaian selain dari mendekatkan diri dengan Allah. Ikhtiar lain boleh dibuat tetapi amalan mendekatkan diri kepada Allah mesti dipertingkatkan. Hati yang runsing Insya Allah menjadi sejuk dan tenang bila kita membaca Al-Quran, solat dan sebagainya. Syaitan susah untuk menggugat kita kalau kita sentiasa mendampingkan diri dengan Allah.

Bernama melaporkan bahawa tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental.

"Macam kemurungan ada dua peratus, sakit risau ada 1.8 peratus dan psikosis ada satu peratus. Penyakit mental yang serius adalah macam psikosis dan kemurungan...penyakit keresahan itu pun kronik juga dan kemudiannya penyakit ringan-ringan lain," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, tinjauan Kajian Mobiditi dan Kesihatan itu juga mendapati wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki.

"Puncanya bagi wanita kerana masalah dengan pasangan dan masalah dengan anak-anak..kedua-dua ini punca yang penting. Bagi lelaki pula punca lebih kepada kemalangan jalan raya yang mana mengalami kecederaan otak dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar golongan wanita mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan dan kerisauan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk.

"Kalau kita (wanita) risau baca (surah) Yassin banyak, bincang dengan mak dan ayah serta suami...dapat kurangkan tetapi jika kita tidak dapat berbincang dan kurangkan, itu akan bagi masalah," katanya.

Beliau berkata, terdapat 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin.

Kerajaan mesti mengambil isu ini sebagai perkara yang serius kerana ianya amat merbahaya dengan melibatkan isu keselamatan dan ketenteraman awam. Kaunselor-kaunselor yang terlatih, pusat kaunseling awam mesti ditubuhkan bagi menyelesaikan kes-kes seperti ini. Kaunselor-kaunselor ini mesti dijadikan sebagai profession yang professional seperti doktor dan sebagainya. Dengan itu mereka akan bekerja sepenuh masa bagi mengubati pesakit mental ini. Ada pesakit yang tidak memerlukan ubat-ubatan cukup sekadar motivasi, bimbingan dan nasihat. Di sinilah peranan kaunselor. Mungkin mereka tidak perlu berjumpa Doktor cukup hanya berjumpa Kaunselor.

Comments