EXCO : HASSAN ALI TERPAKSA PECAT DIRI SENDIRI, SULTAN PERKENAN, SIAPA GANTINYA?


Mahu tidak mahu, Dr Hassan Ali terpaksa melepaskan jawatan Exconya pada 18 Januari. Hassan sepatutnya awal-awal lagi meletakkan jawatan jika beliau seorang yang berjiwa besar dan professional. Beliau tidak perlu menunggu arahan atau titah diraja untuk mengundur diri kerana perlantikan beliau sebagai Exco adalah atas kapasiti Adun PAS. Maka kalau sudah tidak lagi menjadi Adun dari PAS maka dengan sendirinya beliau tidak layak.
Sebagai seorang pakar motivasi, beliau tidak perlu ditunjuk dan diberi motivasi supaya meletakkan jawatan. Takkan hal macam itu pun tidak faham. Beliau sudah tentu terus dihormati kalau meletakkan jawatannya serta merta sebaik sahaja dipecat dari PAS. Bukan jawatan Exco sahaja, jawatan Adun Gombak Setia pun juga tidak layak disandangnya.
Harakahdaily melaporkan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memaklumkan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang baru bagi mengantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan.
Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Dr Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai ahli MMKN atau Exco.

"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Tambahnya Khalid lagi, memandangkan Dr Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli MMKN dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan beliau (Dr Hasan).

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan Baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu Baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," sambungnya lagi.

Ketika ditanya mengenai calon yang bakal mengantikan Dr Hasan itu, beliau menjelas buat masa ini belum ada senarai calon yang diterima dan beliau akan bertemu dengan pemimpin PAS Pusat dalam masa terdekat bagi mengetahui nama yang dikemukakan oleh PAS nanti.

"Saya tidak menerima lagi nama calon dan ia bergantung kepada PAS, dalam pada masa yang sama saya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS Pusat bagi mengetahui nama calon yang dipersetujui oleh mereka.

"Manakala surat penamatan itu pejabat Tuanku Sultan akan serahkan pada Dr Hasan sebelum 18 Januari dan sebagai peraturan kerajaan negeri, beliau (Dr Hasan) perlu memulangkan segala kemudahan yang diberikan kepadanya dalam tempoh yang singkat ini," jelas Khalid lagi.

Sebelum itu perlantikan ahli MMKN yang baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada 18 Januari pada sebelah pagi, waktu yang tepat belum diputuskan lagi.

Comments