Dr RANi GANTI EXCO BARU SELANGOR?


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membuat keputusan hari ini calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Calon favourite sudah tentu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang juga merupakan Adun Meru. Calon lain yang mungkin dipilih ialah Adun Bangi, Dr Shafei Abu Bakar dan Adun Sijangkang, Dr Mohd Yunos Khairi.
Sumber terdekat membayangkan Dr Rani dipilih berdasarkan kedudukan beliau dalam parti dan juga pengetahuan beliau dalam bidang agama walaupun beliau seorang doktor perubatan. Beliau mampu dan sering menyampaikan tazkirah dan khutbah di masjid-masjid dan surau-surau.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor esok.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Semalam, Dewan Harian PAS Pusat bermesyuarat di Alor Setar. Antara topik yang dibincangkan adalah pengganti Hasan Ali.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam tadi Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Media hari ini menyiarkan keputusan Hasan itu.

Sebelum ini, beberapa pimpinan utama PAS meminta Hasan merayu termasuk Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.
Pada 13 Januari lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan Hasan digugurkan daripada menjadi exco kerajaan negeri ekoran dipecat daripada PAS.

Comments