
Jika melihat kepada fakta kes, hujahan pendakwa dan pembela serta jawapan saksi, barang kes dan sebagainya Anwar sepatutnya tidak perlu dipanggil membela diri dan sudah lama dibebaskan. Tetapi entah apa malangnya Anwar sekali lagi terpaksa membela diri ke atas tuduhan yang pelik dan ajaib ini.
Sejak dari awal isu ini, majoriti rakyat tidak mempercayainya kecuali orang-orang yang berkepentingan dan 'makan upah'.
Seperti kenyataan AJK PAS Pusat Dato Kamaruddin Jaafar semalam bahawa jika perbicaraan itu dilakukan secara adil akan memihak kepada Anwar.
Beliau yang ditemui di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu peguam Anwar telah memberikan bukti yang begitu banyak dan dari segi teknikal amat mustahil untuk hakim membuktikan Anwar bersalah.
"Bukti-bukti begitu terperinci telah dikemukakan oleh peguam-peguam Anwar dan segala hujah pihak pendakwa sebelum ini telah dapat dipatahkan oleh barisan peguamnya.
"Begitu juga berkaitan dengan DNA ataupun bukti Saiful berada di kondominium sewaktu kejadian fitnah tersebut, malah bukti-bukti yang menimbulkan kesangsian," jelasnya.
Beliau begitu yakin dengan pengadilan yang adil akan mendapati begitu banyak keraguan yang telah ditimbulkan oleh pihak pembela hari ini.
"Sewaktu pihak pembela mengemukakan hujah pihak pendakwa tidak sedikit pun bangun untuk mencelah atau mencabar, sudah tentu mereka akan memberikan hujan mereka esok dan mereka mengatakan hanya memerlukan masa dua jam untuk mengemukakan hujah mereka.
"Dalam pada itu saya amat yakin bahawa pembelaan yang dilakukan oleh barisan peguam Anwar itu amat berkesan," katanya lagi.
Comments