Ketua Pembangkang tetap yakin Pakatan Rakyat akan menang pada Pilihanraya Umum ke 13 walaupun pelbagai cara dilakukan oleh BN bagi mengekalkan kuasa samada dengan cara halal atau haram.
Sebuah portal internet melaporkan bahawa Anwar Ibrahim menjangkakan satu “kebangkitan Malaysia” pada pilihan raya umum ke-13 sambil dengan yakin memberitahu agensi berita Amerika Bloomberg, Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil alih Putrajaya daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).
“Melihat pada kadar kami sedang bergerak sekarang, kami akan mengambil alih kerajaan,” kata beliau dalam satu temu bual dipetik agensi berita itu hari ini.
Ketua Pembangkang itu yang kini berhadapan dengan kemungkinan sabitan kesalahan buat kali kedua dalam kerjaya politiknya merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sebagai tanda sokongan besar kepada perikatan tersebut.
Kempen itu menarik ribuan hadirin di ibu negara di sebalik tindakan keras diambil pihak kerajaaan. Pihak polis juga menahan lebih 1,500 orang ketika itu.
Susulan perhimpunan itu, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa pembaharuan politik termasuk pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi mengkaji sistem pilihan raya awal Ogos lalu.
Sebulan kemudian, Najib mengumumkan pemansuhan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain.
Tambah Anwar, dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penunjuk perasaan ketika perhimpunan Bersih 2.0, meskipun beliau disabitkan kesalahan pembangkang akan memperoleh keputusan yang lebih baik kali ini.
Sehubungan itu kata beliau, keputusan kes melibatkan dirinya merupakan satu rumusan yang “sudah pun pasti.”
Pemerintahan kerajaan BN lebih lima dekad, katanya, akan berakhir dalam pilihan raya umum ke-13.
Anwar memberitahu Bloomberg bahawa PR akan memperoleh lebih 40 peratus undi di kubu-kubu kuat BN, Johor dan Pahang, memperoleh balik majoriti di lima negeri yang ia menang pada 2008 selain mencatatkan kedudukan lebih baik di Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Trend ke arah kebebasan dan demokrasi tidak boleh dielak. Kita sepatutnya boleh melakukan lebih baik (kali ini),” kata Anwar yang juga Ketua Umum PR.
Bloomberg membangkitkan bahawa tiada sebarang peristiwa yang pemimpin Asia Tenggara digulingkan daripada kuasa sedangkan gerakan sivil semakin kuat di rantau ini.
Anwar menjawab: “Ketika negara-negara Timur Tengah berhadapan dengan Kebangkitan Arab, negara jiran Singapura menyaksikan rekod peralihan undi kepada pembangkang pada Mei (lalu), dan Myanmar membebaskan beberapa pesaing politik dari penjara bulan lalu.”
“Bila akan ada Kebangkitan Malaysia? (Ketika) pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar.
“Harap-harap, kami akan melakukan (giliran) kami menerusi proses demoktratik yang aman,” katanya lagi.
Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998 dan kemudian menghadapi tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
Beliau dibebaskan pada September 2004 dan mengetuai kerjasama PR pada pilihan raya umum Mac 2008 dan memperoleh balik kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada tahun yang sama.
Itu pandangan Anwar.Bagi bukan sesuatu yang mudah untuk PR mengambialih kuasa. Presiden Umno, Najib Razak sudah pun memberi amaran bahawa Umno/BN akan mempertahankan Putrajaya dengan segala upaya, ertinya samada dengan cara halal atau haram. Ini telah dibuktikan melalui 'penganugerahan' kerakyatan dan hak sebagai pengundi kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), manipulasi daftar pemilih dan sebagainya.
BN tidak akan memberikan kemenangan percuma kepada PR walaupun majoriti rakyat akan menyokong PR dan menolak BN. Sebab itu kita lihat BN sedang dan telah mengatur strategi licik samada yang halal dan haram disisi agama, undang-undang dan perlembagaan. Mereka tidak kisah dosa dan pahala yang penting kuasa mesti dikekalkan pada mereka kerana mereka tahu jika mereka tewas dan tidak lagi menjadi kerajaan akan ramai di kalangan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan atas kesalahan-kesalahan tertentu.
Comments