Jalan tar : Kerajaan diskriminasikan rakyat


Bukit Katil : Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang tidak menurap jalan sehingga ke penghujung di Jalan Demang Hussin, Bukit Katil.

 "Adakah kerana berbeza parti politik, hak rakyat perlu dinafikan semata-mata kerana  dikatakan tidak menyokong  parti pemerintah yang ada sekarang. Adakah jalan raya hanya wujud jika UMNO/BN memerintah? "

"Di negara komunis seperti China sekali pun tetap ada jalan raya walhal tidak diperintah oleh UMNO. UMNO tidak ada di negara China tetapi keperluan rakyat sentiasa disediakan." soal Yusof ditemui di lokasi jalan tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Bukit Katil.

Yusof hairan Mengapa perlu ada jurang pemisah yang menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat politik sempit pihak UMNO/BN sedangkan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik membayar cukai dan berhak mendapat layanan sama rata dari kerajaan.

"Tahukah UMNO/BN membezakan apa itu kerajaan dan parti? Akibat tidak faham istilah parti, maka UMNO/BN menjadikan kerajaan itu milik mereka. Urusan parti dengan kerajaan mereka telah campur adukkan seperti yang berlaku sebelum ini dalam laman sesawang kerajaan Negeri Melaka yang mana telah 'menghilangkan' lima ADUN DAP dari laman sesawang tersebut namun dimasukkan semula setelah isu ini heboh diperkatakan dalam media."

"Jika benar-benar UMNO/BN mahu menolong rakyat, maka mereka mesti adil supaya rakyat yang menyokong BN atau PR mendapat pembelaan yang sewajarnya dan tidak timbul isu mementingkan kroni semata-mata." tegas Yusof

Seorang penduduk, Zahari B. Hashim, 65, berkata keadaan ini sepatutnya tidak patut berlaku memandangkan ia  adalah laluan utama kepada penduduk di Jalan Demang Husin ini. 

"Tidak kira dia menyokong kerajaan atau pembangkang dan yang penting kerajaan perlu bertindak dengan adil kepada rakyat agar menikmati kemudahan yang sama rata dan tidak ada diskriminasi politik." kata Zahari.

Comments