Isu Aziz Bari : Semoga Allah beri HIDAYAH KEPADA PENTADBIR UIAM

Persatuan Alumni Mahasiswa Islam (PAMI) ingin melahirkan rasa sedih dan kesal terhadap tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap Prof. Dr Abdul Aziz Bari, seorang pakar perlembagaan di Malaysia yang telah berkhidmat sekian lama dengan UIAM.


Pada pendapat kami, adalah kurang adil tindakan penggantungan dikenakan terhadap Prof. Dr. Aziz sebelum beliau diadili terlebih dahulu. Sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang ulung di Negara ini, tindakan UIAM yang menghukum sebelum bicara dilihat tidak mencerminkan nilai keadilan dan keintelektualan yang sepatutnya menjadi teras sebuah universiti yang menggunakan Islam sebagai namanya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr  Aziz Bari adalah bersandarkan kepada ilmu yang dimilikinya sebagaimana kenyataan yang pernah dikeluarkan Prof. Datuk Zainal Kling tentang sejarah Malaysia berdasarkan ilmu yang dimilikinya. Sewajarnya isu seperti ini tidak ditangani dengan tindakan menghukum tetapi melalui perbincangan intelektual dan diskusi-diskusi ilmiah selaras dengan taraf UIAM sebagai sebuah universiti antarabangsa.

Selain itu, berdasarkan tulisan dan buku-buku yang pernah dihasilkan oleh Prof. Dr. Aziz Bari adalah seorang murabbi yang konsisten dalam mempertahankan kedudukan Islam dan Raja-Raja dalam perlembagaan. Beliau juga adalah antara ilmuan yang melakukan penyelidikan berkenaan gejala riddah khususnya dari aspek undang-undang.

Justeru itu, penggantungan beliau oleh UIAM atas dakwaan bahawa beliau “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti” amat diragui. Keadaan ini menimbulkan kerisauan bahwa ada campurtangan politik di dalam isu ini. Kami berharap agar UIAM dapat membebaskan diri mereka daripada terpengaruh dan dipengaruhi unsur-unsur politik yang tidak membina.

Oleh itu, sebagai sebuah NGO yang ahlinya terdiri daripada komuniti orang-orang terpelajar yang pernah menimba ilmu di universiti, kami berharap pihak UIAM menarik balik penggantungan yang dikenakan kepada Prof Dr. Aziz Bari dan memberikan ruang kepada beliau untuk memberikan penjelasan sebelum menjatuhkan hukuman. Semoga Allah memberikan hidayah kepada pihak pentadbiran UIAM untuk menjernihkan kekeruhan yang timbul ini seterusnya memartabatkan diri menjadi antara university terulung di negara ini.

Yang benar,
Mohd Naim bin Hassan
Setiausaha Agung,
Persatuan Alumni Mahasiswa Islam (PAMI)

Comments