Sejarah negara diubah oleh British untuk padam sumbangan semua pejuang kemerdekaan


Najib Razak mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis pada era zaman darurat.


Perdana Menteri berkata (dipetik dari media pencacai Umno), rakyat pada era tersebut bangkit menentang perjuangan komunis yang cuba menguasai negara dengan ideologi yang tidak boleh diterima termasuk antiagama dan antituhan, malah, sanggup melakukan pembunuhan kejam.

Beliau menegaskan, komunis pada zaman tersebut tidak boleh disamakan dengan negara komunis masa kini kerana kedua-duanya berbeza dari segi ideologi perjuangan.

Memang sewajibnya kita tidak mengubah sejarah kerana ia adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Namun apa yang berlaku di dalam kepada sejarah negara, ianya telah diselewengkan oleh British dengan melabelkan semua pejuang Melayu seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Tok Bahaman, Rosli Dhoby, Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Ibrahim Yaakub, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan lain-lain sebagai pengkhianat, penderhakan dan pengganas.

Malangnya selepas merdeka sejarah ini diteruskan tanpa adanya pembaharuan dan penilaian semula. Hanya bekas-bekas Pegawai British seperti Tunku Abdul Rahman, Dato' Onn dan lain-lain yang dikatakan pejuang kemerdekaan, pejuang-pejuang lain dinafi dan dipadamkan sumbangan mereka kepada kemerdekaan. Hanya pemimpin Umno sahaja yang dikatakan sebagai pejuang kemerdekaan .

Memang kita tidak menafikan sumbangan Tunku Abdul Rahman dan Dato Onn namun apakah sumbanag pejuang dan pahlawan serta agamawan di atas tidak diiktirafkan sedangkan mereka menggadaikan nyawa, hidup dan tenaga mereka menentang penjajah. Lebih malang  lagi ada Professor 'kangkung'  yang membodohkan diri sendiri dengan menyatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah sedangkan saban tahun kita menyambut kemerdekaan sampai dua kali iaitu 31 Ogos dan 16 September. Mengapa sampai begitu sekali Professor ini membodoh dan menjahilkan dirinya sendiri?

Bak kata Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akibat ketidakjujuran pihak-pihak berwajib yang hanya mengiktiraf pemimpin Umno sahaja sebagai pejuang kemerdekaan akhirnya sambutan Hari Kemerdekaan negara dilihat sama dengan Hari Kemerdekaan Umno. Cuba kita kira bilangan kereta dan rumah yang memasang bendera saya kira tidak sampai 1% yang berbuat demikian. Apa puncanya? Tepuk dada tanya Iman masing-masing.

Oleh itu saya sekali lagi menyokong penuh saranan pemimpin PAS supaya sejarah negara dikaji dan dinilai semula ianya jelas bercanggah dengan fakta sebenar. Ianya hanya mengagungkan British dan pemimpin-pemimpin Umno sahaja.

Comments