Laporan Polis untuk Zainal Kling


Saya telah membaca di dalam akhbar Utusan Malaysia di Pejabat PAS Pusat di tingkat 2 no 318-A Jalan Raja Laut 50350 pada 10 September 2011 lebih kurang pada 10.00 pagi yang mana Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Keling dalam satu sidang akhbar di Putrajaya pada 9 September 2011 lalu telah mengatakan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya hanya dilindungi dan dinaungi oleh British. Beliau mengatakan lagi "jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar".

Saya, mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia amat terkejut dengan kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh seorang yang berpengaruh dan dikatakan pakar dalam bidang sejarah tanahair malah dinyatakan beliau mewakili Majlis Profesor Negara. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengganggu-gugat kestabilan dan mengelirukan segenap lapisan masyarakat yang telah sekian lama diajar dan difahamkan bahawa British adalah penjajah Negara dan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 merupakan kemerdekaan dari penjajahan British.

Kenyataan ini juga sekaligus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain.

Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan terdapat agenda tersembunyi yang dirancang oleh pihak tertentu di sebalik kenyataan ini yang bertujuan menggugat keharmonian dan mewujudkan kegusaran dalam masyarakat bagi mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu lain yang gagal ditangani oleh pihak yang berwajib. Kenyataan ini juga mencerminkan seolah-olah rakyat telah ditipu selama 54 tahun apabila menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai ulangtahun kemerdekaan negara dari cengkaman penjajahan British di samping ia juga telah menghina Raja-Raja Melayu yang digambarkan seolah-olah tidak berbuat apa-apa bagi menghalang kemasukan penjajah ke Tanah Melayu. Sekiranya Negara tidak pernah dijajah dan hanya dilindungi atau dinaungi oleh British,  apa perlu duit rakyat dihabiskan oleh Kerajaan setiap tahun untuk mengadakan majlis sambutan Kemerdekaan secara besar-besaran tersebut.

Tiadanya pendirian yang jelas di pihak kerajaan berkenaan perkara ini memburukkan lagi keadaan dan dikhuatiri akan menimbulkan keadaan huru-hara dalam masyarakat jika tidak dibendung dari awal apabila rakyat merasa tertipu dan mengambil tindakan sendirian yang bertentangan dengan undang-undang.

Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut agar Prof Datuk Dr Zainal Keling disiasat dan didakwa di mahkamah kerana secara jelas telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan atau berita yang telah menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong dan/atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Sekian laporan saya.

Nasruddin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Comments

Unknown said…
kita nak tengok, mereka buka file atau tidak. selalunya kalau kes yang ada kaitan dengan UBN, payah sikit. inilah ketempangan sistem Malaysia yang sudah dikenali di seluruh dunia, terutama di kutub utara dan kutub selatan.