Kezaliman, penipuan BN dan kuncu-kuncunya tidak dapat melawan kuasa Allah


Sejak akhir-akhirnya ini media menghamburkan kepada kita semua segala bentuk kezaliman, penyelewengan dan penipuan BN dan kuncu-kuncunya khususnya berkaitan daftar pemillih Pilihanraya. Dari kacamata manusia memang penipuan ini sukar dikekang dan dibendung lantaran pihak berkenaan mempunyai segala kekuatan dan kuasa untuk memastikan ianya berjalan. Inilah akibat dan bahananya bila pihak terbabit tidak takut akan balasan Allah di Hari Akhirat. Inilah akibatnya bila manusia mabuk kuasa, tamak kuasa dan kemaruk kuasa kerana takut kehilangan kuasa.  
Mereka tahu jika mereka hilang kuasa maka sudah tentu segala kejahatan, penyelewengan, salah laku, kezaliman dan segala macam kemungkaran yang mereka lakukan akan terbongkar dan mereka akan diadili di mahkamah dunia. Mereka lupa bahawa andainya mereka terlepas di dunia mereka akan menghadapi mahkamah Allah yang adil dan tidak ada seorang pun yang lepas. Pada hari itu tangan yang durjana, kaki yang jahat, mata yang bobrok dan sebagainya akan bercakap mengaku segala kejahatan yang dilakukan. Manusia tidak akan terlepas.
Lantaran bahawa kita semua sedar akan fitnah, kejahatan dan kebobrokan manusia, PAS mengambil inisiatif untuk mengadu kepada Allah bermunajat memohon Allah menyelamatkan kita semua dari tipu muslihat dan kejahatan manusia pada awal pagi semalam
Berucap ringkas dalam majlis munajat perdana yang dipancarkan ke seluruh dunia secara live, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan terus memancak Islam dalam segenap aspek kehidupan sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini pada akhir 1990.
“Usaha itu berterusan dilakukan sehingga ke saat ini. Ketika ini merupakan saat yang paling baik bagi umat Islam beribadat di akhir Ramadan bagi membersihkan diri kita daripada segala dosa,” katanya.
Menurutnya, hanya doa sebagai senjata akhir bagi orang Islam ketika berdepan dengan kegentingan bagi menghadapi pilihan raya bila mana pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, taktik buruk pihak lawan bagi mengekalkan kuasa hanya dapat dihadapi dengan munajat kepada Allah Taala.
Katanya di negara lain tentera digunakan bagi mempertahan kuasa pemimpin sedia ada, namun di negara kita pendatang diberi kad pengenalan bagi membolehkan pemerintah mengekalkan kuasa.
Kata beliau senjata doa tiada hijab yang boleh menghalang kerana ia akan terus sampai ke Allah Taala, lebih-lebih lagi kalau berkebetulan pula dengan Lailatul Qadar.
“Kita luahkan segala isi hati. Malam ini berkebetulan pula 27 Ramadan, iaitu malam-malam ganjil yang kemungkinan besar berlaku Lailatul Qadar. Allah Taala membuka pintu langit bagi membolehkan menerima terus doa daripada hambaNya,” ujarnya pada program yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad , pejabat Perhubungan PAS Kelantan.
Di Melaka, pimpinan dan penyokong PAS bermunajat kepada Allah di Madrasah Ar Rahmah Solok Gaong bermula jam 3.00 pagi diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Mohd Nor Omar. Turut hadir Pesuruhjaya dan Ahli-ahli Badan Perhubungan PAS Melaka.

Comments