Pra-Piala Dunia : Malaysia mara walaupun tewas 2-3 kepada Taiwan


Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia walaupun tewas 2-3 di tangan Taiwan dalam perlawanan kedua di Stadium Perbandaran Taipeh di sini hari ini.
Pasukan negara mara dengan peraturan gol di tempat lawan apabila agregat terikat 4-4.
Malaysia telah menewaskan Taiwan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu lalu,
Dalam pada itu laporan Bernama Online menyebut kejayaan skuad Harimau Malaya itu membolehkan anak buah Datuk K. Rajagobal bertemu Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik itu pada 23 Julai ini.
Perlawanan timbal balik dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 28 Julai.
Singapura mendapatkan 'bye' pada pusingan pertama kelayakan zon Asia.
Pada perlawanan malam ini, Malaysia bermula dengan rentak agresif dan gerakan teratur membuahkan hasil seawal minit ketujuh menerusi Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.
Mohamad Aidil melakukan rembatan kencang dari sepakan percuma hampir dari kawasan tengah padang selepas kapten pasukan, Safiq Rahim dikasari pemain lawan.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Taiwan menggandakan asakan dan memperoleh jaringan penyamaan menerusi penyerangnya, Chang Han pada minit ke-30 yang mengalahkan penjaga gol negara, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Bagaikan tidak mahu tunduk dengan keputusan 1-1 itu, Malaysia terus melancarkan serangan ke kubu lawan dan berjaya mendapatkan gol kedua negara selang sembilan minit kemudian menerusi hasil sepakan percuma Safiq Rahim.
Kegembiraan Malaysia bagaimanapun tidak kekal lama apabila Taiwan dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh pemain tengah, Chen Po Liang pada minit ke-43 akibat kealpaan pertahanan dengan Mahali Jasuli mengasari Chen dalam kotak penalti.
Pada babak kedua, Taiwan mula menukar corak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus sekaligus memberi tekanan kepada benteng pertahanan negara.
Benteng pertahanan negara dan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee bagaikan terus diuji bertalu-talu dan Taiwan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti kali kedua oleh pengadil apabila Mohamad Fadhli Mohd Shas mengasari Chen namun Mohd Sharbinee berjaya menyelamatan sepakan penalti oleh Chen pada minit ke-61.
Bagaimanapun kelegaan sementara tersebut bertukar tragedi apabila pengadil Vietnam itu sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kali ketiga kepada tuan rumah gara-gara Mohd Sharbinee Allawee didakwa mengasari Chen.
Xavier Tsan Yuan pantas memanfaatkan peluang tersebut untuk jaringan ketiga tuan rumah pada minit ke-74.
Bagaikan tersentak dari lamunan, skuad Harimau Malaya bangkit mencari penyamaan dengan membuat serangan namun corak permainan Taiwan yang banyak bertahan selepas gol ketiganya tidak membuahkan gol buat pasukan negara.
Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 untuk kejohanan di Jerman.
Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.
Sumber : Malaysiainsider

Comments