PJ Melaka kutuk kezaliman pihak berkuasa, desak OKT dibebaskan segera

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari mendesak pihak berkuasa membebaskan 17 orang pimpinan dan ahli PAS Jasin yang ditahan Polis petang semalam. 

Dalam kenyataannya di blog peribadinya, Adly berkata PAS Melaka mengutuk tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa yang menangkap mereka yang terbabit.

"PAS Melaka juga merasa kesal kerana mereka yang ditangkap tidak dibebaskan setelah keterangan mereka diambil. Sebaliknya mereka terus ditahan di IPD Jasin"

"PAS Melaka mendesak pihak berkuasa agar membebaskan mereka yang ditahan." tegasnya yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Menurutnya PAS Melaka akan terus memberikan pembelaan kepada mereka yang ditahan.

"Kami yakin bahawa mereka yang ditahan tidak melakukan sebarang bentuk kesalahan, jadi oleh itu mereka mesti dibebaskan serta merta tanpa syarat" ujar beliau.

Beliau juga berkata PAS Melaka berharap keluarga para ahli PAS yang ditahan agar bersabar dan sama-sama berdoa agar mereka segera dibebaskan.

Comments