Peludah Warna


Kuasa gusar kini menggelegak murka
warna Kuning diisytihar racun berbisa
Diragut baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen,
Warna kuning yang teramat tenang dan penuh syahdu
kita kembalikan damai ke dalam kalbu

Kini cahaya matahari mungkin diramas
dan sinar kuningnya mungkin dicantas
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya

Kerana nikmat amat lama berkuasa
kuasa pun seolah menjadi hartanya

Nukilan : SN A Samad Said 

Comments