Kerajaan Negeri Biadap : Rakyat kesal dan bantah

PAS dan rakyat negeri Melaka membantah tindakan kerajaan negeri Melaka melanjutkan masa operasi Pusat Hiburan sehingga jam 3.00 pagi.

Kira-kira 200 rakyat Melaka berkumpul secara aman di hadapan Masjid Bukit Katil selepas solat Jumaat sebentar tadi untuk menyatakan bantahan di atas tindakan biadap kerajaan negeri Melaka.

Seorang pendakwah, Ustaz Musa Mohamad(gambar atas) berkata tindakan kerajaan negeri yang melanjutkan masa operasi Pusat Hiburan menjelang bulan Ramadhan adalah tindakan yang biadap dan mencabar hukum Allah.

"Kita menggesa pihak terbabit menarik balik keputusan yang amat memalukan tersebut".

"Rakyat negeri Melaka mesti bangkit menolak segala bentuk kemungkaran dan maksiat seperti ini dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka iaitu kuasa undi" kata Ustaz Musa ketika berucap pada himpunan tersebut.

Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Harun Mohamed pula kesal dengan sikap kerajaan negeri Melaka yang ternyata mencabar kesabaran umat Islam di Melaka.

"Ketika kerajaan Kedah mengambil keputusan menghadkan pusat hiburan hanya untuk orang Bukan Islam pada bulan Ramadhan ini kerajaan Melaka dengan berani bertindak meluluskan perlanjutan masa operasi pusat hiburan di Melaka".

"Tindakan ini mesti menjadi iktibar kepada rakyat Melaka supaya menggantikan kerajaan BN yang biadap kepada Islam dengan kerajaan PR yang lebih ikhlas melasanakan Islam seperti di Kedah dan Kelantan" tegas Harun yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka.

Himpunan aman berakhir kira-kira pukul 2.15 minit petang tanpa sebarang gangguan pihak berkuasa, Beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan turut berucap. Majlis diakhiri dengan bacaan doa Ustaz Khairi Abdul Aziz.

Comments