Kelab Permotoran Alternatif di tubuh di Melaka

Alternative Riding Club (ARC) Negeri Melaka dilancarkan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Haji Adly Zahari di Merlimau pada 16 Julai lalu.

Dalam ucapan perasmiannya, Adly berkata PAS Negeri Melaka menyokong sepenuhnya usaha baik Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melancarkan Alternative Riding Club (ARC) peringkat negeri Melaka, dalam usaha mendekati anak-anak muda yang dahagakan program-program sukan dan rekreasi alternatif.

"Program seperti ini menjadi alternatif kepada program sedia ada yang dianjurkan oleh pihak lain yang kadang-kadang tidak mengambil kira aspek akhlaq, solat dan pergaulan bebas".

"Sebaliknya PAS menyediakan program yang lebih bersepadu yang sesuai dengan jiwa kepemudaan dan pada masa yang sama tidak menyimpang dari batas akhlaq dan kewajipan mereka sebagai seorang Islam" ujar Adly.


Program anjuran Lajnah Seni, Budaya dan Sukan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka ini merupakan program yang julung kali di adakan. Sebelum ini Kelab ARC ini telah ditubuhkan di semua negeri-negeri lain.

Pengerusi ARC Melaka, Jauhar Md Dawi berkata kelab ini diwujudkan sebagai alternatif kepada program sukan dan rekreasi yang ada di dalam negara kita sekarang.

"Ia menjadi wadah kepada kreativiti anak muda, serta mampu menyatukan anak muda atas nama hiburan sukan permotoran"

"ARC akan berusaha sedaya upaya untuk menarik minat anak muda di negeri ini untuk bersama-sama menyertai sukan permotoran alternatif yang dianjurkan oleh Pemuda PAS" ujar Jauhar.

Pelancaran ARC Negeri Melaka berlangsung dengan meriah di mana ianya dihadiri oleh Presiden Kelab ARC,  Yasir Said yang juga merupakan bekas juara Cup Prix Malaysia.


Pada program tersebut seramai hampir 70 orang mendaftar sebagai ahli baru kelab ARC Melaka.

Comments