Bubarkan Suhakam jika pandangannya tidak dihormati

Suhakam ditubuhkan oleh Kerajaan dan diletakkan di bawah Kementerian Luar Negeri. Namun sejak ianya ditubuhkan pandangan dan pendirian Suhakam majoritinya tidak dipatuhi dan diikuti. 

Rakyat sebenarnya memang gembira dengan penubuhan Suhakam dan pendirian Suhakam sebenarnya amat dihargai oleh rakyat. Namun rakyat kesal dengan sikap kerajaan yang langsung tidak menghormati Suhakam dalam banyak perkara. Suhakam dilayan bagaikan anjing kurap yang merayu untuk mendapat makanan.

Terbaru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan rasa kebimbangan tentang penangkapan dan penahanan beberapa Ahli Parlimen serta aktivis Bersih baru-baru ini di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan menyeru pihak berkuasa untuk membebaskan mereka yang masih ditahan dengan segera.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, mereka seharusnya berhak kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam seperti yang disebut dalam Perkara 9, 10 dan 11 UDHR yang menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan secara sewenang-wenangnya; setiap orang adalah berhak dengan sama rata sepenuhnya kepada perbicaraan adil dan terbuka; dan setiap orang berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Menurutnya, sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.
“Dalam perkara ini, Suruhanjaya telah berulangkali menyeru agar semua undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan dan mengulangi bahawasanya penahanan tanpa bicara adalah melanggar prinsip hak asasi manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau juga mengalu-alukan konsultasi yang sedang berjalan di antara pihak berkuasa dan Bersih berhubung dengan cadangan perhimpunan, yang akan diadakan di stadium, setelah menurut titah DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 4 Julai dan majlis menghadap yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku kepada Bersih pada 5 Julai 2011.
Katanya, walaupun mengalu-alukan perkembangan positif ini, dalam keadaan sekarang, Suruhanjaya ingin mengulangi bahawa kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), dan kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat adalah terkandung dalam Perkara 19 UDHR.
“Suruhanjaya berharap agar resolusi awal berkenaan perkara ini dapat dicapai antara pihak berkuasa dan Bersih dalam semangat perdamaian, seperti yang dititahkan oleh baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong, dan akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” katanya lagi.
Sumber: Hdaily.

Comments