Biometrik tidak dapat atasi masalah mengundi dua kali dan pengundi hantu


Kerajaan hari ini bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya nanti, kata Najib Razak. 

Beliau berkata ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil."Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini," katanya semasa berucap pada Majlis Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di Kangar hari ini.

Ternyata kerajaan dan SPR sengaja mengenepikan tuntutan rakyat yang mahukan kaedah celupan jari dalam dakwat yang sudah pasti dapat mengatasi masalah mengundi dua kali. 

Tidak ada jaminan bahawa sistem biometrik ini dapat mengatasi masalah penipuan dan penyelewengan. Ianya boleh berlaku apabila seseorang itu diberikan kad pengenalan walaupun ia tidak layak. Sebagai contoh jika seseorang pendatang tanpa izin diberikan kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran dan didaftarkan sebagai pemilih maka beliau layak mengundi kerana data biometrik dalam Kad Pengenalan memang kepunyaannya sendiri. 

Orang asing ini sudah tentu boleh mengundi jika diberikan Kad Pengenalan yang sah oleh Jabatan tertentu dan namanya di daftarkan menggunakan Kad Pengenalan yang sah diberikan oleh jabatan berkenaan.

Dengan itu kaedah biometrik ini tidak mampu untuk mengatasi pendaftaran pengundi yang tidak layak dan juga pengundian lebih dari sekali.

Comments