Terkenangkan Almarhum Ustaz Fadzil Noor

Hari itu tanggal 23 Jun 2002 saya dalam perjalanan pulang dari Temerloh ke Batu Berendam,Melaka. Jam menunjukkan lebih kurang 12.30 tengahari. Tiba-tiba saya teringat akan keadaan Ustaz Fadzil yang sakit kuat HUKM. Beberapa hari sebelum itu saya menelefon sahabat di Kuala Lumpur bertanyakan tentang keadaan Ustaz Fadzil. Beliau menjawab Ustaz dalam keadaan stabil.

Beberapa ketika selepas itu satu saya menerima SMS yang menyatakan Almarhum telah kembali ke Rahmatullah pada jam 10.30 pagi. Saya menerima berita sedih tersebut agak lambat. Terasa sunyi dan sepi dunia ini kerana pemergian beliau amat menyedihkan bukan sahaja saya tetapi pasti seluruh ahli PAS juga berkongsi perasaan yang sama. 

Saya menerima  sms dari sahabat mengajak saya ke Kedah untuk menziarahi jenazah Almarhum. Apakan daya saya tidak dapat menunaikannya kerana masalah tertentu.

Pemergian beliau memang tidak dapat dicari ganti.  Ilmu mantik, pandangan politiknya yang jauh dan istiqamah beliau dalam perjuangan tidak ada tolok bandingnya. Tidak hairan bagaimana pemergian beliau ditangisi oleh seluruh ahli PAS. Jalan ke Muasassah Darul Ulum 'jammed' berpuluh-puluh kilometer. Rakyat yang ingin ke tanah perkuburan Al Marhum terpaksa berjalan kaki berpuluh kilometer jauhnya.

Lebih mengejutkan selepas pemergian beliau beberapa tahun selepas itu, seorang pilot menceritakan bahawa pesawat dipandunya yang membawa jenazahnya dilindungi oleh awan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Kepala Batas, Kedah. Itu semua kuasa Allah. 

Sehingga kini selepas 9 tahun Al Marhum meninggalkan kita terasa seolah-olah seperti baru semalam ianya berlaku. Semangat perjuangan beliau masih terasa bahang kepanasan. Bacaan politiknya sungguh tajam. Beliau menjadi pemimpin politik pertama yang menziarahi Anwar sebaik bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat oleh Mahathir. Beliau tanpa berfikir panjang menubuhkan GERAK yang berjaya menghimpunkan seluruh parti politik alternatif dan NGO tanpa mengira ideologi perjuangan bangsa dan agama. GERAK menjadi asas kepada penubuhan Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan PAS, DAP dan PKN teras kepada BA.

Malah cetusan politiknya juga menjadi dorongan dan perangsang kepada anak-anak muda menggerakkan reformasi selepas Anwar ditangkap dan dipenjarakan.

Sesungguhnya pemergian Al Marhum amat memberikan kesan kepada kita semua. Semangat dan istiqamah yang berjuang hingga ke sedutan nafas terakhir memberi perangsang dan semangat kepada kita semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, ketelusan dan bencikan kezaliman.

Al Fatihah.


Comments