Nostalgia lama tidak dapat dilupakan apabila menjejakkan kaki untuk kesekian kalinya di Taman Melewar Sabtu lalu.
Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa datang lewat pada Muktamar kali ini. Sampai di Taman Melewar lebih kurang pukul 4.10 petang. Ketika itu para perwakilan telah mula membuang undi memilih pimpinan PAS sessi 2011-2013.
Tanpa segan dan silu saya menukar pakaian di sebuah gerai menjual pakaian di perkarangan Markaz Tarbiah yang kini dikenali Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).
Selesai menukar pakaian saya bergegas memasuki Dewan Muktamar semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin Gerakan Islam PAS yang disegani lawan dan kawan ini.
Beratur panjang untuk mengundi memberikan kesempatan untuk bertemu sahabat-sahabat lama semasa di Pulau Pinang, Pahang dan lain-lain. Antara yang ditemui ialah Arsadik, Bahari Mahat, Hasnul Baharuddin, Wak Azlee, Azmi Nazir, Roni Rahim, Ariffin Deraman, Zuhairi Zubit dan beberapa orang lagi.
Seperti biasa bila menghadiri 'event' dan program PAS mataku melilau mencari sahabat-sahabat lama yang pernah 'berjuang' bersama-sama suatu ketika dahulu. Biasanya hampa kerana sahabat-sahabat yang ditemui semuanya sama sahaja. Tiada yang baru.
Kali ini aku bertemu seorang sahabat baru yang pernah menjadi 'musuh' ku semasa di kampus dahulu. Beliau merupakan pemimpin Persatuan Bahasa Malaysia (PBM) yang menjadi 'seteru' Persatuan Mahasiswa Islam (PMI). Beliau kini menjadi salah seorang pensyarah IPT dan lebih hebat dari itu beliau menjadi Perwakilan salah sebuah PAS Kawasan di Selatan Tanahair. Alhamdulillah.
Itulah ketentuan Allah, kadang-kadang orang yang kuat berjuang di suatu waktu dahulu, akhirnya senyap sepi tidak mahu meneruskan perjuangan. Tetapi orang yang mnentang perjuangan kita atau sekadar menjadi pemerhati kini komited dan bersemangat untuk menegakkan perjuangan Islam.
Satu lagi 'event' yang saya hadiri ialah program 'makan-makan' dan mesyuarat PAMI (Persatuan Alumni Mahasiswa Islam). Tidak ramai yang datang seperti juga tidak ramai sahabatku yang hadir pada setiap kali muktamar. Namun saya berjanji untuk membantu pimpinan PAMI menggiatkan usaha menambah keahlian dan mengaktifkan PAMI. Insya Allah.
Didoakan kita semua akan mendapat keredhaan Allah dan menetapkan hati kita untuk terus teguh beriltizam di bawah paynng ulama' berjuang membebaskan dunia dari kezaliman dan maksiat musuh-musuh Allah.
Comments