Rakyat mesti kaji negara berkebajikan PAS

Rakyat Malaysia mesti mengkaji apakah pengisian negara berkebajikan yang dibentangkan oleh Presiden PAS pada Muktamar PAS Pusat kali ke 57 hujung minggu lalu. PAS mula memperkenalkan negara berkebajikan menjelang Pilihanraya Umum 2008. Rakyat menerima baik cadangan dan tawaran PAS tersebut apabila terus diberikan mandat memerintah Kelantan, memimpin pemerintahan PR di Kedah dan menjadi sebahagian dari kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor. PAS juga diberi penghormatan memimpin Perak walaupun selepas itu rompakan kuasa dilakukan Umno/BN.

Kali ini sekali lagi Presiden PAS memperincikan lagi negara berkebajikan yang akan dibangunkan oleh PAS. Yang pasti negara berkebajikan PAS ini Insya Allah akan menjadi sebuah 'Baldatun Toiyyabtun Waghobbun Ghofur' - Negara yang baik yang mendapat keampunan dari Allah. Negara di mana rakyat tidak dizalimi, tidak ditekan, kebajikan terjaga, kekayaan tidak dibolot oleh pemerintah dan kroni, tiada rasuah, tiada penyelewengan, tiada undang-undang zalim seperti ISA, tiada diskriminasi dalam bantuan, institusi pendidikan dan masyarakat diberi kebebasan, kesejahteraan rakyat diutamakan, ulama dan umara berjalan seiring tiada pertentangan, mengamalkan yang makhruf dan mencegah mungkar dan sebagainya.

PAS yakin bahawa negara berkebajikan ini akan diterima oleh rakyat di mana contohnya yang dapat dilihat di hadapan mata bagaimana kerajaan Kelantan dan Kedah berjaya memerintah dengan baik. Banyak program kebajikan dijalankan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Jika PAS dan PR diberi kuasa memerintah Malaysia makan sudah pasti banyak lagi program kebajikan yang akan dilaksanakan kepada seluruh rakyat. 

Antara program yang pasti dijalankan jika PAS dan PR memerintah Malaysia dengan konsep negara berkebajikan ialah pendidikan percuma, kos perubatan percuma, penurunan harga minyak dan sebagainya. Tawaran PR dalam buku jingga merupakan sebahagian dari langkah-langkah program yang akan dilaksanakan oleh negara berkebajikan. 

Rakyat wajib memikirkan tawaran dan cadangan PAS dan PR ini. Adalah sangat rugi jika rakyat menolak tawaran dan cadangan yang hebat ini yang bukannya dibuat secara membuta tuli tetapi selepas dikaji dan dianalisis dengan terperinci kemampuan kewangan negara jika tiada rasuah, ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya.

Comments