Pra-Muktamar : Kepimpinan Ulama' tetap utuh

Kepimpinan Ulama' di dalam PAS tetap utuh walau sesiapa sahaja dipilih menjadi kepimpinan tertinggi PAS. Ini kerana perlembagaan PAS jelas memperuntukkan bahawa Majlis Syura Ulama' adalah badan tertinggi yang diberi autoriti untuk memutuskan sesuatu perkara dasar dalam PAS. Ini bermakna kuasa Presiden dan kepimpinan lain tidak mutlak dalam menentukan halatuju PAS tidak sebagaimana parti-parti lain. Oleh kerana itu adalah jelas sesiapa juga yang dipilih dalam muktamar masih tertakluk kepada Majlis Syura Ulama dalam menentukan sesuatu perkara dasar.

Bertitik tolak dari fakta dan realiti ini maka tidak timbul bahawa jika seorang ulama' tidak dipilih menjadi Timbalan atau Naib Presiden maka dasar kepimpinan Ulama' akan berkubur. Begitu juga tuduhan bahawa jika ramai pimpinan bukan dari kalangan Ulama' maka PAS akan menjadi parti sekular, pragmatik dan liberal.

Bagi saya ahli PAS dan pemimpin PAS sudah matang dalam hal ini dan mereka tidak akan terpengaruh dengan hasutan dan fitnah dari media arus perdana yang jahat, bohong dan batu api. Tidak perlulah kita mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan para perwakilan melihat kita memperlekehkan mereka.

Saya sendiri sebagai seorang perwakilan dan mempunyai kuasa mengundi telah membuat keputusan siapa yang hendak saya pilih dan menegaskan sekali lagi bahawa sesiapa pun yang menang kali ini akan tetap mempertahankan tradisi dan aqidah perjuangan PAS iaitu meletakkan Islam dan memperteguhkan lagi kepimpinan Ulama'.

Semua pimpinan yang bertanding kali ini bagi saya layak untuk memegang jawatan yang mereka tandingi sebab itulah mereka dicalonkan untuk jawatan tertentu.

Selamat Bermuktamar.

Comments