Muktamar ketiga-tiga sayap utama PAS selesai semalam.Tidak ada kejutan besar berlaku seperti yang dijangka. Dewan Pemuda dan Muslimat menyaksikan perubahan yang agak besar apabila masing-masing Timbalan dan Naib Ketua Pemuda baru dipilih bagi Dewan Pemuda manakala Ketua dan Timbalan Ketua baru dipilih oleh muslimat. Nik Abdul dan Raja Iskandar dipilih sebagai Timbalan dan Naib Ketua Pemuda sementara Zailah dan Siti Mariah dipilih sebagai orang No 1 dan No 2 Dewan Muslimat.
Dewan Ulama pula mengekalkan kepimpinan lama. Adalah dijangka tidak banyak perubahan dari segi gerakan Pemuda kerana Ketuanya masih ketua lama manakala bagi Dewan Muslimat dijangkakan berlaku perubahan yang ketara dengan perlantikan Zailah dan Siti Mariah yang terkenal dengan kelantangan mereka menyuarakan kebajikan wanita dan isu-isu semasa.
Dewan Pemuda sebagai salah satu sayap penting mesti kembali mencipta sesuatu yang baru sesuai dengan situasi semasa supaya ia disegani kawan dan lawan. Keyakinan pimpinan pemuda menyahut cabaran dan undangan sesiapa untuk berdialog dan berdebat amat disanjungi. Selain itu Dewan Pemuda mesti terus menjuarai apa juga isu semasa supaya kita dilihat lebih terkehadapan berbanding Pemuda parti-parti lain.
Adalah diharapkan perubahan juga berlaku dalam Dewan Ulama sebagaimana saranan wakil Dewan Ulama Kelantan, Mansor Daud yang mahukan ulama PAS lebih terkehadapan dan berusaha untuk menjuarai isu-isu semasa yang memerlukan fatwa dan pandangan ulama'.
Comments