Kurang ajar punya manusia

Kami membaca berita tentang Ibrahim Ali daripada PERKASA mendakwa kononya akan mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH 2.0 daripada mengadakan perhimpunan pada 9 haribulan Julai dengan penuh rasa marah dan kesal. 

Tindakan dungu membakar dan memijak gambar Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan suatu penghinaan yang sungguh menjelikkan. Tambahan pula menggelarkan beliau dengan panggilan “wanita Hindu” adalah bersifat kurang ajar dan jelas menggambarkan sikap biadab Presiden PERKASA itu sendiri.Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa perhimpunan yang dirancang adalah dipelopori oleh masyarakat madani tanpa sebarang perintah daripada mana-mana parti politik. Tuntutan telah pun disampaikan bahawa kami menuntut pilihanraya yang bebas dan adil serta demokrasi liberal yang tulen. Untuk bertahun lamanya kita telah melihat pengaturan undi dan penentuan sempadan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada pihak tertentu (gerimander). Tidak lupa juga liputan media yang berat sebelah dan mendiamkan sebarang kritikan ke atas parti pemerintah.


Tidak pernah ada 'lapangan permainan' politik yang sama rata dan kita telah lelah melihat pelbagai gangguan politik. Amalan rasuah yang menjijikkan begitu tersebar luas sehingga seakan-akan telah membudaya di dalam masyarakat.

Inilah masanya untuk perubahan, dan biarlah BERSIH 2.0 menjadi pemangkin kepada perubahan itu. Ancaman Presiden PERKASA bahawa apa-apa pun boleh terjadi pada hari tersebut dan masyarakat Tiong Hua hendaklah membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah tidak akan melunturkan semangat kami untuk berarak demi demokrasi. Keputusan pilihanraya terkini di Sarawak jelas menunjukkan tiada sebarang perubahan telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil seperti yang dijanjikan.

Dengan itu kami telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kebejatan sistem yang ada sekarang adalah dengan mengadakan satu perhimpunan aman. Hak untuk berhimpun adakah hak asasi yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (Artikel 20) dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 (Artikel 21).Kepada saudara Muslim yang berniat untuk terus berkecuali dan tidak mahu ambil peduli dengan tindakan angkuh yang tidak menghormati prinsip-prinsip demokrasi, kami ingin mengingatkan bahawa tindakan berdiam diri hanya akan memperkukuhkan pemerintahan kuku besi yang korup, dan tiada perubahan akan dapat dilihat dengan hanya berdoa untuk perubahan tanpa sebarang usaha.

“Sesungguhnya, Tuhan tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri” [Qur'an 13:11]

Sekiranya demokrasi itu mencambahkan “semangat penentangan”, maka sebenarnya ia telah pun menjadi sebahagian daripada sejarah dan budaya umat Islam. Imam-imam kepada mazhab-mazhab fekah utama dalam Islam bersungguh-sungguh memprotes daripada mazhab mereka dijadikan mazhab rasmi negara pada zaman itu. Ramai telah dipenjarakan akibat kritikan terhadap pemerintah di zaman mereka. Kita adalah pewaris kepada tradisi ini, yang membekalkan umat Islam hari ini dengan khazanah idea-idea yang demokratik.Rejim kuku besi haruslah diajar bahawa cukuplah apa yang telah mereka lakukan selama ini. Ayuh hadir pada 9 haribulan Julai, baik lebatnya hujan ataupun teriknya mentari, kita akan berada di sana, berarak untuk kebebasan dan demokrasi.

Catatan : Dr Ahmad Farouk MusaPengerusi dan Pengarah, Islamic Renaissance Front (IRF) dipetik dari Malaysiakini.

Comments