Kepimpinan PAS Mantap

 Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Cikgu Yusof Wahab menyifatkan saf kepimpinan PAS yang dipilih pada Muktamar PAS Sabtu lalu merupakan pasukan yang mantap dan lengkap.

"Kepimpinan baru yang dipilih itu terdiri daripada lapan ulama, dua doktor, dua jurutera, satu peguam, enam bekas pensyarah dan dua aktivis masyarakat."

"Siapa kata Ulama disingkirkan sedangkan 8 orang ulama dipilih malah Presidennya adalah seorang ulama" soal Yusof yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.

Komposisi itu katanya menunjukkan kabinet PAS mempunyai pemimpin rencam termasuk ulama yang lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Malah katanya perlembagaan PAS juga memperuntukkan enam AJK dilantik, empat anggota dewan harian dan semua pesuruhjaya negeri untuk bersama kabinet baru.

"Presiden dan kepimpinan yang dipilih ini boleh melantik mereka dari pelbagai latarbelakang untuk melengkapkan 'kabinet' PAS Pusat untuk sessi 2011-2013".

"Saya yakin pemimpin yang tidak terpilih seperti Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim, Datuk Seri Muhammad Nizar, Ustaz Idris Ahmad dan lain-lain akan dilantik untuk memenuhi kouta 6 AJK, 4 anggota dewan harian dan pesuruhjaya negeri-negeri" kata Yusof.

Menjawab tuduhan bahawa Ulama diketepikan pada pemilihan ini, Yusof berkata tidak berbangkit isu ulama diketepikan kerana 8 orang Ulama masih mendapat kepercayaan perwakilan selain itu Majlis Syura Ulama terus menjadi badan tertinggi yang mengawal halatuju dan arah perjuangan PAS.

"PAS terus dipandu dan dikawalselia oleh Majlis Syura Ulama' malah perlembagaan PAS jelas meletakkan Al Qur'an dan sunnah sebagai perlembagaan dan rujukan tertinggi PAS".

"Matlamat, perlembagaan, rujukan dan asas perjuangan tetap sama cuma pemimpin dan strategi sahaja yang mungkin berubah".

"Macam dalam Umno pemimpin mungkin berubah tetapi dasar mereka yang membelakangkan Islam, pragmatik, mesra rasuah, sekular, mengamalkan matlamat menghalalkan cara masih dipertahankan dan terus diamalkan" ujar Yusof.

Menurut Yusof, akar umbi PAS juga terus memberikan sokongan kuat kepada PAS untuk meneruskan tahaluf siasi bersama PR kerana kejayaan  boleh dilihat kepada sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin meningkat akibat kefahaman mereka terhadap perjuangan keadilan Islam yang dibawa PAS.

"Persefahaman kita, mengekalkan jati diri kita sebagai orang Islam, memperkenal mesej Islam kepada bukan Islam tanpa paksaan.

"Berbeza dengan persefahaman wala' Umno BN yang menghilangkan jati diri, hilang hak dan hilang jati diri Islam itu sendiri," katanya menegaskan perbezaan.

Yusof berkata demikian ketika ditemui di Pusat Aduan Rakyat (PAR) Dun Bukit Baru di sini pagi ini.

Comments