'Kabinet' Pilihanraya PAS Melaka dibentuk Sabtu ini.


PAS Melaka akan membentuk kabinetnya atau jawatankuasanya yang baru Sabtu ini bagi membolehkannya bergerak lebih aktif mendepani cabaran.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari dijangka akan melantik beberapa orang muka baru untuk menjadi Timbalan Pesuruhjaya 1, 2 dan 3. Antara nama-nama yang dijangka dipertimbangkan oleh beliau ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Ustaz Kamaruddin Sidek; Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Mohd Nor Omar dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Untuk jawatan Setiausaha Perhubungan pula, Adly dijangka mengekalkan penyandang jawatan penggal lalu iaitu Harun Mohamed yang juga merupakan Yang Dipertua Kawasan Kota Melaka.

Sementara jawatan Ketua Penerangan pula dijangka diamanahkan kepada muka baru kerana penyandangnya sekarang iaitu Sofi Wahab lebih berminat untuk menjadi Ahli Jawatankuasa biasa sahaja. Beliau telah 2 penggal memegang jawatan tersebut. Beberapa pimpinan peringkat kawasan seperti Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Azrin Abdul Majid, Ketua Penerangan Tangga Batu Ustaz Nordin Md Dahan dan Ketua Penerangan Bukit Katil, Yusof Wahab boleh dilantik  untuk menggalas jawatan tersebut. Azrin dan Yusof merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Husni Balis pula dijangka dikekalkan sebagai Bendahari PAS Negeri untuk penggal yang keempat. Beliau dilihat masih mampu untuk menguruskan kewangan PAS Negeri dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 ini. Namun begitu Adly masih mempunyai pilihan lain antaranya Timbalan Yang Dipertua Tangga Batu, Haji Rafie Ahmad dan Haji Ab Rahhim Idris untuk diketengahkan sebagai Bendahari Negeri.

Adly juga dijangka melantik Pengarah Pilihanraya yang baru bagi menggantikan Mejar (B) Jasme Tompang. Antara yang dikatakan layak untuk memegang jawatan tersebut ialah pemimpin veteran PAS Negeri, Haji Hassan Md Dahan, Setiausaha Jentera Pilihanraya Negeri sekarang, Bahiki Ismail dan Pengarah Majis Tindakan Dun Ayer Molek, Hj Mustafa Ali.

Beberapa orang Ahli Jawatankuasa tambahan akan dilantik bagi melengkapkan kabinet PAS Melaka selaras dengan perlembagaan yang memperuntukan kuasa kepada Pesuruhjaya untuk melantik Ahli Jawatankuasa tambahan. Beberapa nama mungkin dipertimbangkan antaranya Yusof Rahmat, Hassan Md Dahan, Dr Khatijah Jumangat, Aminuddin Abdul Jalil, Dr Hamzah Awang, Abdul Halim Said dan lain-lain.

Beberapa orang pimpinan PAS pelbagai peringkat yang ditemui melahirkan keyakinan yang tinggi kepada 'kabinet' yang akan dibentuk kelaki kerana mereka inlah yang akan memegang amanah memimpin PAS Negeri menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi 

Ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Mahani Othman berkata barisan jawatankuasa yang dilantik itu mestilah  terdiri daripada mereka yang berkebolehan, berwibawa dan boleh diharapkan untuk PAS Melaka bagi menghadapi PRU Ke-13 dengan baik.

 "Kabinet baru yang akan dibentuk itu sudah pasti akan menggabungkan golongan ulama, profesional dan aktivis dalam PAS.

"Ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh PAS Pusat yang memilih dan melantik kabinetnya dengan gabungan ketiga-tiga golongan itu dalam parti," katanya ketika ditemui di sini pagi ini.Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Ramii Dalip menaruh keyakinan tinggi terhadap Adly Zahari yang menurutnya mampu membawa perubahan kepada PAS Melaka.

"Beliau sudah pasti akan melantik saf kepimpinan yang dirasakan mampu untuk memacu perjuangan PAS di negeri Melaka ini lebih-lebih lagi Melaka merupakan satu-satunya negeri yang tiada kerusi PAS di Dun"

"Dalam ucapannya pada ceramah di Kota Melaka 2 hari lepas, Pesuruhjaya melahirkan keyakinan tinggi bahawa rakyat negeri Melaka akan berubah dengan syarat semua jentera bekerja kuat bag mengubah minda rakyat" ujar Ramli ketika ditemui di Taman Tun Rahah dekat sini malam tadi.

Adly telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka pada mesyuarat PAS Pusat awal minggu ini bagi menggantikan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman. Beliau sebelum ini adalah merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Comments

Anonymous said…
UST KAMIS KENA LANTIK SEBAGAI TIMBALAN PJ 1