Kabinet penuh PAS Pusat diputuskan Ahad ini

PAS pusat akan mengadakan mesyuarat pertamanya selepas Muktamar ke 57 Ahad ini. Adalah dijangkakan kabinet penuh PAS Pusat akan dibuat pada mesyuarat tersebut. Antara jawatan penting yang akan diputuskan pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Agung, Pengarah Pilihanraya, Bendahari, Ketua Penerangan, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Negeri-negeri dan Ahli Jawatankuasa Tambahan. Presiden mempunyai kuasa penuh untuk melantik 4 orang anggota Jawatankuasa Harian dan 6 orang Ahli Jawatankuasa tambahan.

4 orang pimpinan yang tewas pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden iaitu Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dijangka dilantik untuk salah satu jawatan di atas. Seorang lagi calon Naib Presiden yang tidak dipilih ialah Dato Mohd Amar Nik Abdullah, namun beliau telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada muktamar tersebut.

Selain itu beberapa orang lagi AJK yang tidak terpilih seperti Asmuni Awi, Dato Taib Azzamuddin Mohd Taib, Mohd Taufek Abdul Ghani, Mohd Anuar Tahir dan lain-lain mungkin juga dilantik semula.

Pada pemilihan Sabtu lalu, Haji Mohamad Sabu dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Salahuddin, Husam dan Mahfuz dipilih sebagai Naib Presiden. Ramai pemerhati melihat kabinet PAS kali ini adalah paling mantap dan sesuai untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 ini.

Comments