Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang juga ahli Parlimen Pasir Mas bahawa beliau akan mengerahkan ahlinya dari seluruh negara untuk berarak pada hari yang sama bagi menyekat kemaraan Himpunan Bersih 9 Julai 2011 adalah membuktikan dengan jelas bahawa PERKASA adalah pertubuhan yang mahu kekacauan berlaku dalam negara kita. Malah kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara. Polis perlu menyiasat Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka.
Sebenarnya Jawatankuasa Bersih 2 yang dipengerusikan oleh Dato Ambiga mahu membuat 8 tuntutan kepada pihak kerajaan bagi mengembalikan demokrasi yang telah tercemar selama ini. Tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Dalam Himpunan Bersih 2 suatu memorandum akan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Himpunan aman tanpa senjata adalah kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang tercatat dalam perkara 10. Adapun perkara 27 Akta polis(akta 344) mengenai kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang diberi kuasa kepada pihak polis adalah bertujuan untuk menjayakan objektif kebebasan bersuara dalam perlembagaan bukannya menghalang kebebasan tersebut.
Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah. Pihak polis boleh menjaga keamaman Himpunan Bersih 2 dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara. Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak PERKASA dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza. Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara. Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu maka polis akan dihina oleh semua pihak.
Himpunan aman tanpa senjata adalah keperluan kepada demokrasi yang adil. Ratusan ribu rakyat tidak akan menghadiri Himpunan Bersih 2 jika mereka tidak ada tujuan yang khusus untuk mendapat satu pilihanraya yang bersih dan adil. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga sering menganjurkan perarakan semasa Sambutan Maulidurasul atau upacara agama tertentu. Ribuan orang akan berarak di jalan raya. Mereka mendapat hak untuk berhimpun. Persoalannya mengapa Bersih 2 seolah-olah dinafikan hak untuk berhimpun secara aman?
Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
Comments