Hujung minggu ini muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Taman Melewar. Kali ini ianya melibatkan pemilihan kepimpinan tertinggi parti. Kalaulah pemilihan ini melibatkan Umno saya yakin jutaan ringgit sudah mula bertukar tangan dan bertukar milik dek kerana kemaruk kuasa dan pangkat. Ini kerana pangkat dalam Umno bererti duit dan nafsu menanti dihadapan pemimpin yang dipilih.
Sudah tentu kalau pemilihan Umno, 'Campaign Manager' calon-calon tertentu khasnya jawatan penting seperti Presiden, Timbalan dan Naib Presiden sudah berbulan-bulan bergerak dan bermukim di serata negeri dan kawasan untuk memancing undi dengan duit, projek, pangkat dan sebagainya.
Namun dalam PAS semua itu tidak wujud. Saya yang akan mengundi memilih calon-calon Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan AJK Pusat sehingga kini tidak didatangi atau dihubungi oleh sesiapa juga bagi memastikan saya mengundi calon mereka. Inilah unik dan istimewanya PAS. Para perwakilan sudah dibekalkan dengan ilmu dari hasil tarbiyah PAS bagi memilih siapa pimpinan yang layak dan wajar dipilih nanti.
Tidak timbul soal surat layang, fitnah, tohmah dan lobi-melobi. Yang pasti saya tidak akan mengundi calon-calon yang melobi kerana saya sendiri tidak melobi ketika pemilihan di peringkat kawasan tempohari.
Konsep berlumba-lumba berbuat kebaikan ditanamkan di dalam jiwa pimpinan dan ahli PAS tidak kira jawatan yang kita pegang. Seorang penampal poster dan pengutip derma mungkin lebih mulia di sisi Allah berbanding Naib Presiden atau AJK PAS Pusat. Ini semua tersemat di dalam jiwa orang-orang PAS.
Comments