Muktamar pada awal Jun ini sekali lagi menyaksikan PAS memilih pemimpinnya untuk tempoh 2 tahun akan datang. Pemimpin kali ini juga akan menganggotai 'kabinet' PAS bagi membawa cabaran dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang mungkin berlangsung pada tahun ini juga.
Setiap kali pemilihan maka pemimpin-pemimpin PAS samada penyandang jawatan dan pesaing mereka akan ditonjolkan oleh para penyokong mereka. Alhamdulillah tradisi parti Islam ini dapat dipertahankan dari dahulu dan Insya Allah selamanya iaitu pemilihan ini berlangsung dalam suasana yang sihat tiada rasuah, ugutan dan penipuan tidak seperti parti yang satu lagi.
Apa yang ingin diutarakan di sini ialah tentang sikap PAS sendiri dalam pemilihan kepimpinan. Bagi saya apa yang penting PAS mesti melihat dan mencari seorang tokoh yang mampu menarik sokongan semua rakyat bukan hanya yang diterima oleh penyokong dan ahli PAS semata-mata. Secara jujur saya melihat pemimpin atasan yang ada sekarang tidak dapat diterima sepenuhnya oleh sesetengah komuniti rakya yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Sila jawab soalan di bawah ini dengan jujur.
1) Ada atau tidak pemimpin PAS yang diterima oleh semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia khasnya orang Cina dan India?
2) Ada atau tidak pemimpin PAS yang mampu mengambilalih peranan dan tugas Anwar Ibrahim jika beliau disumbat semula ke 'Universiti' Sungai Buloh. ?
Jika jawapan untuk soalan di atas tidak ada maka PAS sewajarnya mencari jalan dan kaedah bagaimana untuk membentuk dan melatih pemimpin yang sekurang-kurangnya memenuhi ciri-ciri di atas secara minima. Karisma, kepimpinan (leadership), kreativiti dan sebagainya bagi seorang pemimpin boleh dipupuk dan dibentuk. PAS sepatutnya sudah mempunyai calon-calon yang dilihat sesuai dan paling layak untuk membentuk dirinya (dan dibentuk oleh PAS) bagi memastikan PAS diterima oleh segenap rakyat dan rakan-rakan politiknya.
Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri minima seperti di atas mesti dikenalpasti dan dipupuk dari masa ke semasa. Tarbiah dan latihan kepimpinan mesti dirancang dan diprogram supaya bila sampai masanya calon itu bersedia untuk ke depan.
Malangnya kita lihat kebanyakan pemimpin yang ada hari ini lahir dengan sendirinya tanpa 'succession plan' dan 'career development' yang betul-betul dirancang dan diprogram. Kita bertuah jika beliau lahir sendiri tetapi bagaimana jika orang itu tidak lahir-lahir sejak sekian lama sedangkan PAS amat memerlukan orang seperti tu sekarang.
Bagi saya memang kita ada beberapa orang yang kita rasa mampu untuk digilap dan disuburkan. Namun apakah PAS dan pemimpin PAS yang sedia ada boleh memberi laluan dan lorongan untuk pemimpin ini ke depan dan ditonjolkan. Di sinilah pengorbanan semua termasuk pemimpin atasan dan ahli bawahan ditagih oleh kita demi kesinambungan perjuangan PAS pada masa hadapan.
Comments