PENDUDUK TERUS BANTAH CADANGAN ROBOHKAN SURAU DAN PASTI

Penduduk Kampung Bukit Katil konsisten membantah cadangan kerajaan untuk merobohkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Jaya Insan, Kg Bukit Katil. Jumaat lalu selepas solat Jumaay kira-kira 300 penduduk setempat mengadakan bantahan aman di hadapan Masjid Bukit Katil dengan diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jauhar Dawi.


Penduduk membantah rancangan merobohkan PASTI tersebut kerana ia dibina di atas tanah wakaf yang diinfakkan oleh seorang dermawan untuk dibina pusat pendidikan tersebut. Ianya telah dibina lebih dari 15 tahun dahulu. Selain itu bantahan itu juga dilakukan kerana kerajaan mempunyai alternatif lain untuk dibuat jalan dan ianya lebih lurus dan selamat dari jalan yang dibuat di atas tapak PASTI terbabit.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Adly Zahari dalam ucapannya pada majlis bantahan itu berkata kerajaan negeri pimpinan Mohd Ali Rustam telah banyak kali melukakan hati umat Islam dengan mengambil tanah wakaf-wakaf dan dijual kepada orang bukan Islam.

"Mereka mengambil tanah wakaf dengan Bandar Melaka dan dijual kepada peniaga India, mereka mengambil tanah wakaf di Bukit Baru dan jual kepada peniaga Cina, inilah kerja Ali Rusram yang tidak kenal apa erti tanah wakaf".


"Kini mereka cuba pula mengambil tanah wakaf di Bukit Katil untuk tujuan membuat jalan, kita kesal kerana institusi yang dibina untuk mendidik anak bangsa hendak dikorbankan oleh kerajaan BN yang rakus dan jahat ini" tegas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Turut berucap pada majlis tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jauhar Dawi.

Sementara itu Jauhar dalam kenyataannya selepas majlis bantahan itu menyatakan Dewan Pemuda dan Badan Bertindak Membantah Cadangan Perobohan Surau dan PASTI Bukit Katil akan berjuang untuk mempertahankan kedua-dua institusi itu sehingga ianya dibatalkan oleh kerajaan BN.

"Kami konsisten untuk meneruskan bantahan ini sehingga kerajaan membatalkan niat jahat mereka ini".

"Memang ianya suatu yang tidak munasabah kerana terdapat tanah kosong yang tiada bangunan boleh dibuat jalan tidak jauh dari sini malahnya jalan yang dibina di atas tanah tersebut lebih lurus dan selamat".

Jauhar berkata cadangan untuk merobohkan PASTI ini mempunyai niat jahat hanya kerana mereka dengki dengan sambutan rakyat dan program PASTI yang dijalankan di situ.

Sehingga pihak berkenaan telah mengadakan bantahan sebanya 5 kali iaitu 4 kali di hadapan Masjid Bukit Katil dan sekali di hadapan Masjid Bukit Baru.

Comments