BANJIR KILAT MALUKAN NEGERI 'MAJU' MELAKA

Ayer Keroh : Beberapa pihak mempertikaikan status negeri maju yang diisytiharkan kepada Melaka pada 20 Oktober 2010. Terbaru kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan pentadbiran kerajaan negeri dan kawasan komersial iaitu di Melaka International Trade Centre (MITC).

Pengarah Nisa' Negeri Melaka, Mahani Osman, 41 berkata kejadian banjir kilat yang berlaku 2 hari lepas benar-benar memalukan negeri yang dikatakan berstatus negeri maju.

"Sebelum ini kejadian banjir kilat seringkali berlaku di kawasan lain, tetapi kali ini ia berlaku di kawasan yang dikatakan sangat maju dan menjadi pusat pentadbiran dan komersil iaitu di MITC".

"Terbukti mereka hanya pandai mendakwa sebagai negeri maju tetapi hakikatnya ianya tidaklah sebagaimana yang mereka dakwa, ianya cukup memalukan kita semua" ujar Mahani yang juga merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab pula berkata kejadian banjir kilat yang memalukan itu membuktikan kelekaan dan kelemahan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang gagal menguruskan saliran dan longkang di kawasan tersebut sehingga menyebabkan air bertakung akibat longkang tersumbat.

"Takkanlah sudah banjir baru hendak ambil tindakan membersihkan longkang tersumbat, baru terkial-kial mencari punca kepada banjir kilat tersebut".

"Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan kerajaan negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian ini yang membuktikan mereka hanya pandai mendakwa negeri maju tetapi gagal menunjukkan imej sebuah negeri maju". tambah Yusof.

"Benarlah apa yang didakwa oleh banyak pihak sebelum ini bahawa status negeri maju ini hanyalah syok sendiri, orang lain dan badan yang berautoriti pun tidak mengiktirafnya" jelas Yusof.

Ahmad Alang, 43 dari Ayer Keroh berkata sebagai penduduk Ayer Keroh beliau berasa malu kerana kejadian banjir kilat ini berlaku di kawasan yang dikatakan paling maju dan menjadi kebanggaan kerajaan negeri.

"MITC menjadi kebanggaan orang ramai kerana disitu ada pejabat-pejabat kerajaan, gedung perniaagaan, hotel dan sebagainya, kejadian ini amat memalukan semua orang".

"Saya yakin banjir kilat ini berlaku disebabkan kegagalan pihak berwajib menjalankan penyelenggaraan kepada longkang dan sistem perparitan".

Menurut beliau selain itu ianya mungkin juga berlaku kerana projek pembangunan di sekitar kawasan itu yang tidak terkawal menyebabkan sistem perparitan menjadi tidak terurus yang akhirnya menyebabkan longkang tersumbat.

Ahmad mencadangkan pihak berwajib memeriksa sistem perparitan dan mengambil tindakan serta merta selain dari menyediakan jadual penyelenggaran yang sistematik dan berkesan.

Rakan beliau, Amar Fauzan, 21 dari Durian Tunggal pula berpendapat kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mestilah memantau projek-projek disekitar MITC bagi memastikan ianya tidak menjejaskan sistem perparitan di kawasan tersebut.

"Sekarang ini banyak projek mereka buat di sini yang menyebabkan tanah banyak masuk ke dalam longkang dan ini menjadikan longkang tersumbat".

"Longkap pula tidak selalu dicuci dan diperiksa, jadi bila hujan lebat banjir kilat berlaku" kata Ammar.

2 hari lepas Melaka dikejutkan apabila beberapa kawasan khususnya jalan di kawasan MITC dekat Ayer keroh digenangi air selepas hujan turun dengan lebatnya selama 4 jam.

Comments