POCO-POCO : BANYAK LAGI PERKARA BESAR YANG TAK DISENTUH JK FATWA

Timbalan Ketua Penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab berkata isu tarian poco-poco merupakan isu nasional maka ia perlu dibincangkan di peringkat pusat supaya ia dapat diselaraskan di semua negeri.


"Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membincangkan isu ini di dalam muzakarah peringkat pusat bagi menentukan dari segi hukumnya,"


"Jika tidak sudah tentu negeri lain ada pandangan sendiri dan negeri lain mempunyai pendapat lain" katanya ketika dihubungi di Pusat Aduan Rakyat Dun Bukit Baru.


Yusof berkata bukan sahaja tarian poco-poco yang perlu difatwakan malah program-program lain yang melibatkan percampuran dan pergaulan lelaki dan wanita juga hendaklah dinyatakan hukumnya.


"Hari ini di negara kita wanita dan lelaki bebas bergaul dalam program-program maksiat seperti konsert, dalam kelab malam, pub, spa dan sebagainya, tetapi mengapa tidak ada yang bagi fatwa".


"Tarian poco-poco ini mungkin dilakukan di tengah orang ramai, bagaimana dengan pergaulan bebas lain yang sekarang ini menjadi tradisi di negara kita, bila ada program akan ada perkara-perkara maksiat seperti pergaulan bebas lelaki dan wanita" tambah Yusof.


Beliau berkata jawatankuasa fatwa samada peringkat negeri atau pusat mesti melihat perkara yang lebih besar dari tarian poco-poco.


"Antara perkara besar yang mesti dinyatakan hukumnya ialah tentang penyebaran fitnah melalui video lucah sedangkan pihak yang mendakwa gagal membawa 4 orang saksi seperti yang dimahukan oleh Islam".


"Bagaimana pula hukum orang yang menayangkan video lucah dan porno, yang melibatkan orang Islam, mengapa perkara besar seperti ini tidak dinyatakan hukumnya" ujar Yusof yang juga merupakan Penyelia Dun Bukit Baru.


Pihak berwajib seperi Jawatankuasa Fatwa di semua peringkat mesti berani mengeluarkan hukum demi memastikan umat Islam tidak terpesong jauh dari Islam.


"Bukannya fatwa berkaitan dengan tarian poco-poco tidak penting tetapi banyak lagi perkara yang lebih besar dan mendesak perlu disentuh dan ditentukan hukumnya oleh mereka" ujar Yusof

Comments