Beberapa pihak kesal dengan tindakan Polis yang seolah-olah terus menjadi kuda tunggangan parti pemerintah apabila terus mengganggu program ceramah Pakatan Rakyat (PR). Terbaru ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Gombak 2 hari lepas diberhentikan oleh Polis. Seorang ahli perniagaan Mohd Zain Fakeh, 44 dari Kg. Bukit Pulau, Bukit Baru berkata Malaysia seolah-olah sudah menjadi sebuah negara kuku besi secara total. "Sudahlah parti-parti bukan BN dinafikan hak siaran di dalam media elektronik seperti TV dan Radio serta media cetak kini ceramah umum yang kehadirannya terhad pun di halang." "Ini bermakna tidak ada satu saluran pun dibenarkan untuk parti bukan BN. Takut sungguh BN akan kehilangan kuasa. Biasanya orang yang takut kehilangan kuasa dan mabuk kuasa ini ialah orang yang penuh dengan masalah dan kejahatan." ujar Mohd Zain ketika di temui di sini pagi ini. Pekerja Swasta, Ahmad Pa'Lang, 43 dari Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal berkata Polis tidak serik dan tidak mahu mengambil iktibar dari kemenangan pemimpin dan ahli PAS dalam beberapa kes mahkamah yang membabitkan gangguan Polis terhadap ceramah PAS. "Kemenangan 3 pemimpin PAS iaitu Dr Hatta Ramli, Mazlan Mat Yassin dan Ustaz Nazri Ahmad yang menang kes saman ke atas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud yang menghalang ceramah PAS di Markas PAS Rompin pada seperti yang disiarkan Harakah sepatutnya menjadi pengajaran kepada Polis" "Kita ada undang-undang dan setahu saya PAS dan PR sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada, mengapa Polis terus menganggu dan mengacau ceramah PR" tanya Ahmad. Malam Jumaat lalu, tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis dan kekecohan berlaku semasa ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak. Kira-kira 10 anggota polis bertindak menghalang ketua umum PKR itu daripada berucap lebih daripada 15 minit yang dibenarkan. Anwar ketika itu sedang berucap di majlis pelancaran kempen DNA (Datuk Najib Altantuya) yang dihadiri kira-kira 1,500 orang, kebanyakannya penyokong PKR. Pada 26 Ogos 2009, Yang Arif Hakim Dato' Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasa apabila membuat serbuan dan menangkap Hatta, Mazlan dan Ustaz Nazri. Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit Polis kerana ia bukan tempat awam. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, memerintahkan Hanafi membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada ketiga-tiga pemimpin PAS tersebut. Sementara itu seorang surirumah, Mahani Osman, 41 dari Taman Pengkalan Jaya, Ayer Molek mengharapkan Polis tidak tunduk kepada pengaruh politik sebaliknya bertindak mengikut lunas-lunas undang-undang dan budi bicara sebagai manusia. "PAS dan PR tidak pernah menimbulkan huru-hara pada program anjuran mereka. Jika ada huru-hara itu adalah disebabkan provokasi dan gangguan dari pihak yang Polis pun tahu siapa mereka." "Kami sentiasa menjaga adab dan perangai ahli kami di mana PAS tidak pernah menganggu ketenteraman awam jika PAS mengadakan program" tambah Mahani yang juga ahli PAS Cawangan Kg. Bukit Katil. Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil Yusof Wahab mengharapkan Polis dapat memberikan kerjasama yang baik kepada program Hi-Tea dan ceramah perdana Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub pada 1 April ini. "Program ini diadakan di perkarangan Pejabat PAS Kawasan jadi kami mengadakan program dalam premis kami. Seperti biasa Polis tidak pernah menganggu program kami di sini, jadi kali ini kami harap program ini akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak". "PAS Kawasan juga mengharapkan Umno tidak mengadakan ceramah bersebelahan dengan ceramah PAS seperti sebelum ini, cukuplah, jangan berkelakuan seperti budak-budak tadika, kita semua sudah dewasa dan matang ." tambah Yusof.
Comments