PEMUDA TEKAD GEMPUR MERLIMAU

Pimpinan dan Ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka bertekad untuk menawan DUN Merlimau pada Pilihanraya Kecil Merlimau yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mac ini.

Hasrat ini dinyatakan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek pada Himpunan Pemuda PAS Melaka sempena Pilihanraya Kecil Merlimau yang berlangsung di Madrasah As-Solihin Merlimau di sini semalam.

"Pemuda Negeri Melaka akan berjuang habis-habisan bagi menggempur BN dan menerangkan kepada rakyat akan kepentingan mereka mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil ini, Insya Allah".

"Sudah sampai masanya PAS menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan negeri Melaka pimpinan Umno yang nyata gagal mentadbir dan menjaga kepentingan umat Islam di Melaka" kata Ustaz Kamaruddin.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dalam ucapannya menggesa pemuda supaya bekerja kuat bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil ini.

"Pemuda mesti turun ke segenap ceruk berjumpa dengan pengundi agar risalah Islam ini dapat disampaikan kepada mereka".

"Umat Islam Melaka mesti diselamatkan dari cengkaman dan kezaliman Umno yang bermaharajalela sejak lebih 50 tahun di Melaka ini. Insya Allah, PAS mesti menang supaya suara kita dapat berkemundang di DUN Melaka bagi memberi peringatan dan nasihat kepada Umno" tambah Ustaz Abdul Ghani yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani.

Dalam ucapannya Azman mengingatkan ahli pemuda PAS Melaka supaya berjuang dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana cabaran amat getir kepada PAS dan Pakatan Rakyat di kubu kuat BN.

"Pemuda Pusat seperti biasa akan mengarahkan seluruh jentera pemuda seluruh negara bagi membantu calon PAS di Merlimau, kita tidak akan undur dan akan terus mara walau apapun dugaan yang datang" kata Azman penuh semangat.

Azman diberi penghormatan menyampaikan bendera PAS kepada semua Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan sebagai simbolik bermulanya gerakerja pemuda di DUN Merlimau.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad; seluruh pimpinan PAS Negeri dan pimpinan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Program tersebut turut diserikan dengan lagu-lagu nasyid penuh semangat dari Azhan Atan.

Comments