JENTERA PAS MELAKA SUDAH SEDIA TERIMA TETAMU

Jurucakap Jentera Pilihanraya PAS Negeri (JPN) Melaka, berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk menerima kontinjen dari seluruh negara yang akan berkampung di Merlimau bagi membantu gerakerja pilihanraya kecil DUN Merlimau.

"Pihak kami telahpun menyediakan penginapan dan kelengkapan logistik untuk semua kontinjen negeri-negeri di mana semua negeri telah diberikan tugas berdasarkan kepakaran dan kekuatan masing-masing".

"Semuanya sudah siap sedia dan pihak kami hanya menunggu kedatangan tetamu untuk membantu kami" ujar beliau.

Ditanya tentang persiapan jentera, beliau berkata bahawa JPN memang sudah lama bersedia dan tidak ada masalah yang dihadapi oleh pihaknya bagi menggerakkan jentera di DUN Merlimau.

"Program Jom Turun Padang Mesra Rakyat telah dimulakan sejak awal 2010 lagi di mana ianya telah memberikan kesan yang amat baik kepada petugas-petugas di mana mereka telah mendapat latihan yang sistematik dan cukup untuk berhadapan dengan kerja-kerja pilihanraya".

"Negeri-negeri akan digabungkan dengan jentera tempatan dan gabungan ini sudah tentu akan bertambah mantap dengan kepakaran yang ada pada jentera masing-masing" tambahnya.

Menurutnya, JPN telah mengenalpasti beberapa strategi yang sedang dan akan dimainkan oleh Umno/BN untuk mengelirukan rakyat di Merlimau di mana sebahagian besarnya adalah isu lama yang sudah muak dan tidak lagi diterima oleh rakyat.

PAS, katanya tidak akan memainkan isu perkauman dan sentimen agama bagi meraih undi sebagaimana Umno/BN yang sentiasa menggunakan isu ini walaupun ianya bertentangan dengan undang-undang dan sistem demokrasi.

Jurucakap tersebut juga mengharapkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat berlaku adil kepada semua parti yang bertanding demi kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

"Tidak ada gunakan kita adakan pilihanraya jika padang permainan tidak rata yang akhirnya menyebabkan imej negara tercalar kerana sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus" ujar beliau ketika ditemui di Bilik Operasi PAS di Merlimau pagi ini.

UNTUK SEBARANG MAKLUMAT SILA HUBUNGI penjana@gmail.com

Comments