HAJI YUHAIZAD DIPILIH CALON PAS DI MERLIMAU

Jasin : PAS malam ini memilih Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Jasin, Haji Yuhaizad Abdullah calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6Mac ini.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di hadapan lebih 6,000 penyokong PAS dan PR di Dataran Markas PAS DUN Merlimau.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad adalah juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Pemilihan anak jati Kampung Chinchin yang terletak di dalam DUN Merlimau yang berkelulusan Diploma Tasawur Islam itu dipercayai mampu memberikan tentangan sengit kepada BN yang sememangnya begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Merlimau.

Beliau datang keluarga yang disegani di mana datuk sebelah ibunya adalah Tok Imam dan datuk sebelah ayahnya adalah Tok Sidang.

Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi ketika mengumumkan calon BN itu, berkata pemilihan Yuhaizad dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat badan perhubungan PAS negeri, Jawatankuasa Pusat sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

“Kita yakin calon kita mampu memberikan tentangan sengit dan jika terpilih beliau akan bertindak sebagai pembangkang yang berkesan," kata Abdul Hadi.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 58, dari BN pada awal Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Hidhir menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang, dengan majoriti 2,154 undi.
Turut hadir pada program pengumuman calon malam ini adalah pimpinan Pakatan Rakyat.

Comments