FORUM MENUJU PAS BARU 13 FEB DI MELAKA

Ilham Centre akan menganjurkan Forum dan diskusi ilmiah bertajuk Menuju PAS Baru pada 13 Februari di INB Resort Ayer Keroh bermula jam 8.00 hinggan 12.00 malam. Forum ini akan menampilkan Penulis Buku Menuju PAS Baru, YB Dr Mujahid Yusof; Pakar Undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof. Manakala Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhammad Hisommudin Bakar bertindak sebagai Moderator.

Berikut adalah kenyataan akhbar Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Perubahan-perubahan besar yang berlaku terhadap landskap politik negara dilatari oleh pelbagai faktor termasuk pendedahan informasi terhadap rakyat secara berleluasa dan pantas. Penyebaran idea-idea baru amat penting untuk membentuk dan meningkatkan kesedaran sebagaimana kelahiran revolusi-revolusi utama di dunia. Namun demikian, hasrat membentuk suatu paradigma baru dalam sesebuah masyarakat bukan suatu usaha yang mudah. Penganjuran forum dan diskusi terbuka merupakan suatu usaha pihak ILHAM CENTRE untuk menghidupkan pendidikan politik dan wacana-wacana ilmu di Malaysia.

Di kesempatan ini, ingin kami nyatakan dan tegaskan bahawa forum dan diskusi buku ‘Menuju PAS Baru’ adalah salah satu daripada inisiatif dan di antara usaha proaktif kami bagi menjayakan hasrat murni ini. ILHAM CENTRE hanya menyediakan ruang, pentas dan tidak lebih daripada sekadar berperanan sebagai media perantara kepada semua pihak untuk berdiskusi secara terbuka. Penganjuran Forum & Diskusi buku ‘Menuju PAS Baru’ diadakan bertepatan dengan kelahiran buku tersebut yang hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak. Tambahan pula, penganjuran forum ini telah mendapat persetujuan daripada penulisnya iaitu YB Dr. Mujahid Yusof Rawa sendiri.

Oleh itu, pihak ILHAM CENTRE mengambil inisiatif dengan membuka ruang kepada semua pihak untuk turut serta berdiskusi mengenai kedinamikan PAS sebagai sebuah parti politik di Malaysia dalam menentukan arus perdana serta mencorak landskap politik dan masa depan negara. Di antara objektif utama penganjuran forum ini ialah;

1. Membincangkan peranan yang dimainkan PAS dalam perkembangan politik Malaysia
2. Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan PAS daripada sudut pandang pelbagai pihak
3. Memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi sebarang kritikan dan cadangan terhadap PAS

Justeru, sebagai makluman, ILHAM CENTRE akan mengadakan siri forum sebanyak 3 kali di 3 zon berbeza iaitu utara, timur dan tengah bermula di Pulau Pinang pada 16 Januari akan datang disusuli pula di Terengganu/Kelantan pada 13 Februari dan kemuncaknya di Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun ini.

Kami juga percaya bahawa banyak pihak mempunyai hasrat yang sama untuk mewujudkan paradigma politik baru di negara ini melalui idea-idea baru yang bernas. Lantaran itu, keterbukaan dan kesediaan semua pihak untuk berwacana akan membantu mencorakkan landskap politik negara ke arah yang lebih progresif dan menjadi pemangkin ke arah pembentukkan budaya ini. Pihak ILHAM CENTRE juga berbesar hati untuk menganjurkan siri-siri wacana terbuka daripada pelbagai pihak demi membentuk paradigma politik baru di Malaysia. Kami bersedia menjadi media pengantara bagi mana-mana pihak untuk melontarkan idea-idea pembaharuan secara terbuka.

Comments