KERAJAAN PR : MASA BULAN MADU SUDAH BERLALU

Masa untuk berbulan madu untuk PAS dan Pakatan Rakyat sudah berlalu. Masa dua tahun lapan bulan mandat yang telah diberikan oleh rakyat melalui undi protes dalam PRU 8 Mac 2008 sedang diperhatikan oleh rakyat. Media Umno BN telah hilang kewarasan untuk memastikan tuannya tidak hilang kuasa di Pusat. Mereka sudah mengalami keperitan seperti cacing kepanasan apabila terlepas negeri Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Mereka marah bukan kerana Melayu tidak terbela dan Islam tidak terjaga. Selama ini pun mereka yang menghina Islam dengan menutup surau dan hendak menangkap Dr Harun Din & Datuk Ishak Baharom.

PAS mengharapkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat mesti ada kesungguhan untuk mempertahankan kemenangan. Perlu diingatkan mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada mendapat kemenangan. Persepsi rakyat sedang diburukkan oleh media Umno setiap hari terutama televisyen yang menjadi rujukkan utama rakyat. Jalan keluar mesti dilakukan untuk membentuk persepsi rakyat supaya menyebelahi Pakatan Rakyat. Penentuan undi ialah kebanyakan dibuat oleh golongan yang hanya menjadi pemerhati dan tidak berparti. Contohnya jika satu lokaliti mempunyai 100 orang pengundi, yang berparti hanya 40 orang sahaja, selebihnya ialah mereka yang hanya membuat keputusan terakhir. Kebiasaanya mereka ini akan mengundi BN kerana terpengaruh dengan media, wang dan jentera kerajaan.

Walaupun kita tidak mampu untuk melawan media perdana BN seperti televisyen, namun usaha pencerahan pemikiran rakyat mesti dibuat.

Sebenarnya Pakatan Rakyat mempunyai lambakan isu yang banyak dalam bentuk menerang atau menyerang. Risalah dan akhbar parti begitu cantik menjawab isu, namun gagalnya ialah risalah tersebut tidak sampai kepada sasarannya, kerana dilonggok di markaz, masjid dan surau sahaja. Mekanisme ini mesti dibetulkan dengan segera. Individu yang bertugas secara tetap perlu dilantik supaya tidak berlaku pembaziran maklumat dan wang.

Usaha daftar pemilih mesti dibuat, tidak cukup dengan laungan semangat Sepenuh tenaga mesti ditumpukan untuk menggerakkan daftar pemilih. Untuk suku terakhir yang akan tamat pada Disember. 2010 maka perlu program ops daftar pemilih dibuat secara serius secara mingguan dan terancang. Pimpinan kawasan, pemuda, ulamak, muslimat, nisa' dan amal kena tumpu kepada daftar pemilih. Kena jadikan ini agenda utama jika mahu kekalkan kemenangan dan menawan Putrajaya. Biar kita resah sekarang daripada kita menangis akibat kecuaian kita yang tidak buat kerja untuk menang.

Kain-kain rentang yang ditulis untuk menjawab isu seperti "Umno khianat tanah Rezab Melayu" "Umno menghakis Kuasa Raja-Raja Melayu" "257 ribu anak luar nikah daripada tahun 2000-2008. Kain ini mesti ditukar dalam masa dua minggu,dengan isu-isu yang lain, kemudian diletak di tempat yang strategik. Ini adalah satu cara untuk membentuk minda pengundi yang selama ini dirosak oleh media Umno.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Comments