SIDANG DUN MELAKA : ALI RUSTAM SEKALI LAGI DAKWA KIT SIANG KAFIRKAN UMNO

Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam terus menuduh Penasihat DAP, YB Lim Kit Siang mengkafirkan Umno. Pada Sidang DUN Melaka petang tadi beliau secara terbuka menuduh Kit Siang mengkafirkan Umno.

"Dulu PAS kafirkan Umno sekarang, DAP pula kafirkan Umno, Lim Kit Siang kafirkan Umno" kata Ali Rustam ketika bangun membangkang usul yang dibawa ADUN Bachang, YB Lim Jak Wong.

Jelas sekali Ali Rustam membuat tuduhan tanpa usul periksa. Walaupun Kit Siang telah menafikan beliau berkata demikian pada ceramahnya di Galas, Ali terus membuat tuduhan yang jelas suatu fitnah dan bohong.

Lim Kit Siang pada Sidang Medianya di Lobi Parlimen hari ini berkata beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

"Saya didakwa mengatakan Umno kafir dalam satu ceramah di Galas bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini merupakan fitnah dan pembohongan oleh kerana saya tidak bercakap seperti yang didakwa oleh beliau.

"Saya juga tidak pernah menghadiri ceramah di tanah rancangan Kesedar seperti yang didakwa dan ini merupakan perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menyebarkan kebencian kaum dan agama," kata Lim menafikan tuduhan Ali Rustam.

Lim telah mengarahkan peguamnya mengemukakan saman terhadap laporan akhbar Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan "Umno Kafir" dalam satu ceramah di dalam kempen pilihan raya kecil di sebuah ceramah di Sungai Terah, Gua Musang, semalam.

Inilah 'standard' Ketua Menteri Melaka yang bercakap membuta tuli dan tidak mempunyai fakta yang sentiasa cuba mengelirukan rakyat dengan tuduhan-tuduhan liar yang berniat jahat.

Comments