ROBOH SURAU : SOLAT HAJAT & BACA YASIN MINTA BALASAN ALLAH





Kira-kira 300-400 orang penduduk sekitar Bukit Katil hadir menunaikan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon Allah memelihara PASTI dan Surau Bukit Katil dari dirobohkan oleh pihak berkuasa yang zalim. Ahli Jemaah yang hadir mendoakan supaya Allah memberikan balasan yang setimpal kepada sesiapa sahaja yang merobohkan Rumah Allah dan bertindak zalim kepada institusi pengajian Islam. Program seperti akan diteruskan dari masa ke semasa.

Program tersebut yang berlangsung Selasa lalu dipimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Ustaz Kamaruddin Sidek. Dalam tazkirahnya beliau mengingatkan pihak berkenaan supaya sedar dan insaf bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Jika mereka berani meruntuhkan rumah Allah ingatlah Allah akan membalasnya di kemudian hari.

Menurut pemerintah tidak sepatutnya menggunakan akta tanah sewenang-wenangnya untuk merampas tanah rakyat. Sejarah telah membuktikan di zaman Saidina Umar yang mahu membesarkan masjid Nabawi. Umar ingin membeli tanah Ibnu Abas yang terletak di sebelah Masjid Nabawi tetapi Ibnu Abas tidak mahu menjualnya.

Seterusnya Umar membawa kes itu ke mahkamah. Hakim memutuskan Ibnu Abas menang kes itu di mahkamah dan Umar tiada hak untuk membeli kerana Ibnu Abas tidak mengizinkannya.

"Itu untuk buat masjid bukan untuk buat jalan, tuan tanah mempunyai hak mutlak ke atas tanahnya, jika kerajaan sekarang bertindak mengambil tanah tanpa kerelaan tuan tanah sebenarnya mereka telah membelakangkan Islam, tunggu saat kemurkaan Allah" tegas Ustaz Kamaruddin dalam tazkirah pendeknya malam itu.

Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Melaka Tengah telah menghantar surat kepada pemilik tanah di Jalan Dato Demang Hussien untuk mengambil tanah bagi tujuan membuat jalan.

Namun jalan yang dibina itu tidak praktikal kerana ianya bengkok dan menyebabkan kos pampasan melambung tinggi kerana ianya melibatkan perobohan Tadika PASTI, Surau dan rumah rakyat.

Penduduk meminta kerajaan mengambil tanah tidak jauh kawasan tersebut kerana tanah itu kosong dan jalan yang akan dibina lebih lurus tidak bengkok seperti cadangan sekarang.

Comments