Kelangsungan PAS : Pendekatan baru wajib dikenalpasti

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Dato Tuan Ibrahim, Dr Ghazali Mahyuddin dan Dr Dzulkefly Ahmad bahawa PAS perlu mencari pendekatan baru bagi meneruskan kelansungan perjuangan mendepani cabaran mendatang.

Ketiga-tiga mereka mengeluarkan cadangan sedemikian pada Seminar PAS Ganti Umno, di Shah Alam , Sabtu lalu.

Pendekatan lama yang telah diamalkan sejak turun temurun seperti ceramah dan melakukan program berasingan dengan masyarakat dan sebagainya dilihat tidak mampu untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS.

Ceramah dilihat hanya dihadiri oleh ahli dan penyokong tidak sama seperti sasaran. Mungkin ceramah boleh terus dijalankan untuk menaikkan semangat ahli tetapi tidak boleh dijadikan satu-satunya program yang boleh meningkatkan sokongan rakyat.

Pendekatan menjauhkan diri dari masyarakat seperti solat di surau sendiri, melaksanakan korban sesama ahli dan sebagainya mungkin menyebabkan rakyat semakin menjauhi PAS. Apa yang penting PAS menunjukkan kesediaan untuk bersama masyarakat walaupun institusi masyarakat memulaukan PAS. Mungkin dengan pemulauan itu rakyat yang tidak fanatik kepada Umno/BN dapat melihat bahawa bukan PAS yang mengasingkan diri tetapi Umno yang angkuh dan sombong memencilkan PAS.

PAS juga mesti menjadi juara masyarakat dengan program-program kebajikan dari masa ke semasa. Memang kita tidak mempunyai duit yang banyak namun kita ada ramai petugas dan ahli yang komited yang boleh menyumbangkan tenaga bila-bila masa.

Stail politik dan pendekatan lama boleh dikekalkan tetapi pada masa yang sama memperkenalkan program-program baru yang dikenalpasti berpotensi untuk meraih sokongan rakyat yang semakin cerdik dan bermaklumat.

Comments