DASAR PERTANIAN CACA MARBA

Tindakan kerajaan untuk mengadakan kerjasama strategik untuk mewujudkan tapak pengeluaran makanan di luar negara membuktikan dasar pertanian negara yang caca merba dan tidak mempunyai perancangan strategik. Menurut Dato’ Seri Najib Tun Razak ia sebagai satu usaha untuk membendung kemungkinan berlakunya krisis makanan yang berpunca daripada kenaikan harga yang melampau dan kekurangan bekalan

Parti Islam Se-Malaysia PAS konsisten daripada dahulu sampai sekarang meminta kerajaan menjadikan negara ini jangan mengenepikan sektor pertanian. PAS mengingatkan kepada kerajaan bahawa sektor pertanian bukan sahaja untuk mengurangkan kadar import yang menyebabkan wang negara mengalir keluar. Lebih daripada itu sektor pertanian mesti dianggap sebagai sektor keselamatan dalam pemakanan. Sekiranya berlaku sesuatu di dalam negara insyaAllah rakyat selamat kerana bekalan makan mencukupi. Tetapi dalam keadaan sekarang siapa boleh memberi jaminan jika berlaku sesuatu.

Cadangan Perdana Menteri untuk menanam makanan di luar negara, seolah-olah negara kita gurun sahara yang hanya boleh tumbuh pokok kaktus sahaja. Sedangkan bumi Malaysia adalah bumi yang subur dan tidak perlu merempat ke negeri lain untuk mengemis tanah. Satu ketika dahulu di Kedah di bawah pimpinan Tan Seri Sanusi Junid menanam padi atas bumbung, seolah-olah negeri Kedah berada di atas planet lain.

Keresahan Dato’ Seri Najib akan berlaku krisis makanan di negara ini menunjukkan pemimpin negara celaru dan bertindak tanpa merujuk kepada pakar ekonomi ketika melaksanakan dasar pertanian negara. Rakyat Malaysia tentu masih ingat kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa negara lebih ekonomik mengimport makanan daripada menanam sendiri. Analogi yang beliau buat, seekar tanah pertanian hanya boleh memberi pekerjaan kepada lima orang, tetapi jika mendirikan kilang, akan memberi peluang pekerjaan kepada 500 orang.

Menurut Kementerian Pertanian nilai import makanan dalam lima tahun telah meningkat daripada tahun 2005 sebanyak RM 17.7 bilion kepada RM26.7 bilion iaitu peningkatan purata tahunan 10.2%. Berapa banyak wang negara mengalir keluar negara. Alangkah baiknya jika kita mempunyai pemimpin yang mempunyai wawasan yang jauh seperti pemimpin PAS, wang negara pun selamat dan keselamatan negara juga akan selamat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Comments