BUBAR PARLIMEN : DUN JANGAN BUBAR

Ura-ura bahawa BN mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum ke 13 pada awal tahun depan bertiup kencang sejak kebelakangan ini. Perkara ini ditambah lagi dengan beberapa langkah Umno dan parti-parti komponen lain yang membincangkan persediaan pilihanraya secara terbuka. Antaranya MCA mengumumkan minggu lalu bahawa parti itu sedang memperkemaskan jentera pilihanraya sebagai persediaan untuk menghadapinya. Parti-parti lain seperti Gerakan dan MIC juga berbuat demikian.

BN sebenarnya begitu yakin akan memenangi Pilihanraya umum ke 13 kerana mereka menang kedua-dua pilihanraya kecil terbaru iaitu Batu Sapi dan Galas. Selain itu mereka juga telah mengatur pelbagai strategi bersama agensi-agensi tertentu yang secara tradisinya menggunakan kuasa dan autoriti mereka untuk memberikan kelebihan kepada BN.

Secara ghalibnya, bila Parlimen dibubarkan, maka semua kerajaan negeri akan membubarkan DUN masing-masing bagi memberikan laluan untuk pilihanraya umum serentak dilangsungkan. Namun saya bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa tidak nampak perlunya diadakan pilihan raya negeri di negeri Selangor dalam masa terdekat kerana mandat kerajaan yang ada masih panjang.

Beliau berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor yang dipilih pada pilihan raya umum lepas memerlukan masa yang secukupnya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Khalid berpandangan bahawa pilihan raya negeri Selangor perlu diadakan dalam tempoh empat tahun selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Menurutnya Pilihan raya tidak harus diadakan terlalu awal dalam usaha memberi peluang kepada wakil rakyat membalas kepercayaan pengundi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka,.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor di Shah Alam semalam.

Abdul Khalid berkata kerajaan tidak harus membebankan rakyat dengan mengadakan pilihan raya terlalu awal kerana itu satu pembaziran.

Comments